KUSKOP Giat Perkasa Kerjasama Strategik Bersama Platform e-Dagang Global

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sedang mempergiat kerjasama strategik dengan platform e-dagang global untuk mempromosikan serta memasarkan produk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, sektor e-dagang turut berperanan sebagai wahana untuk membawa produk Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

“Untuk makluman, KUSKOP berpandangan bahawa sektor e-dagang perlu bersifat dua hala, iaitu bukan sekadar menjadi saluran kemasukan produk luar ke pasaran tempatan, tetapi turut berperanan sebagai wahana untuk membawa produk Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

“Perkara ini turut ditegaskan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana (APEC) di Guangzhou, China, baru-baru ini.

“Sehubungan itu, selaras dengan strategi Pelan Tindakan Memperkasa PMKS, khususnya dari segi akses pasaran, KUSKOP sedang mempergiat kerjasama strategik dengan platform e-dagang global, termasuk bersama Alibaba bagi membangunkan inisiatif Malaysia Mall sebagai platform untuk mempromosikan dan memasarkan produk PMKS tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis memaklumkan terdapat beberapa program telah diadakan yang menyasarkan penyertaan PMKS Malaysia berpotensi tinggi.

“Susulan lawatan kerja Yang Berhormat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke Alibaba Center Guangzhou pada 3 September 2026, KUSKOP sedang meneroka beberapa bentuk kerjasama teknologi dan akses pasaran seperti berikut.

“Pertama, program rintis Malaysia Mall bagi pasaran China menerusi platform Tmall dan Taobao yang menyasarkan penyertaan PMKS Malaysia berpotensi tinggi, di samping meneroka penggunaan platform Daraz bagi memperluas akses pasaran ke Asia Selatan.

“Kedua, kerjasama SME Corp. Malaysia dengan Lazada Malaysia melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 15 Oktober 2026 sempena Persidangan Enterprise 50. Kerjasama ini melibatkan pembangunan MSME Digital Export Initiative bagi memudahkan pengantarabangsaan digital PMKS melalui ekosistem Alibaba termasuk Alibaba.com, Tmall, Taobao dan Lazada.

“Terakhir, kerjasama Bank Rakyat dengan Alibaba dan Lazada sedang diteroka susulan lawatan kerja ke Shanghai pada 22 September 2026. Sebagai langkah awal, Bank Rakyat akan mengenal pasti 30 hingga 50 PKS berpotensi untuk mengikuti sesi kesedaran, latihan dan program rintis pendaftaran e-dagang, di samping meneroka sokongan pembiayaan, khidmat nasihat perniagaan dan peluang eksport,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO