Tahniah BN, Pastikan Amanah Rakyat Dilaksana Sebaiknya – Wan Rosdy
MELAKA, 15 Nov – Menteri Besar Pahang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan tahniah kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN) atas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sambil menegaskan mandat diberikan rakyat perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.
Beliau berkata, kemenangan itu disambut dengan penuh kesyukuran dan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka yang telah memberikan kepercayaan serta mandat kepada BN.

“Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kemenangan yang dicapai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
“Tahniah dan syabas kepada seluruh jentera Barisan Nasional, khususnya jentera dari Pahang atas segala kerja keras, pengorbanan dan semangat juang seluruh jentera parti yang telah turun padang sepanjang 14 hari tempoh berkempen,” katanya.
Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Melaka atas kepercayaan yang diberikan, sambil berharap kemenangan berkenaan menjadi permulaan kepada pelaksanaan tanggungjawab yang lebih besar demi kesejahteraan negeri itu.
Menurutnya, mandat rakyat bukan sekadar satu kemenangan dalam pilihan raya, sebaliknya amanah yang perlu ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.
“Insya-Allah, amanah ini akan dilaksanakan sebaiknya demi memastikan Melaka terus stabil, maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen untuk memastikan kepercayaan rakyat yang diberikan dapat diterjemahkan melalui usaha berterusan membangunkan Melaka serta menjaga kepentingan seluruh rakyatnya. – UMNO Online
