PRN Melaka: Gelombang Biru Adalah Gelombang Rakyat – Azalina
KUALA LUMPUR, 15 Nov – Kemenangan Barisan Nasional (BN) bersama rakan kerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 disifatkan sebagai manifestasi mandat rakyat yang mahukan kesinambungan khidmat bakti dan pembangunan negeri.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan keputusan, gabungan BN-Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi 24 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, dengan BN memperoleh 21 kerusi manakala PN meraih tiga kerusi.
Daripada 21 kerusi BN, UMNO menyumbang 18 kerusi, MCA dua kerusi dan MIC satu kerusi.

Menurut beliau, kemenangan berkenaan bukan sekadar pencapaian parti, sebaliknya merupakan kemenangan rakyat Melaka yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi dengan kadar keluar mengundi melebihi 70 peratus.
“Kemenangan ini milik rakyat Melaka. Terima kasih kepada semua yang telah menunaikan kewajipan mengundi. Kehadiran melebihi 70 peratus mencerminkan kesungguhan rakyat negeri Melaka menentukan masa depan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Azalina turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pimpinan MCA dan MIC serta Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas kepimpinan sepanjang menghadapi pilihan raya berkenaan.
Beliau turut menghargai komitmen seluruh jentera UMNO, MCA dan MIC termasuk Wanita, Pemuda, Puteri, ketua cawangan, petugas serta rakan PN yang bekerja sepanjang 14 hari tempoh berkempen.
Menurutnya, pendekatan kempen BN yang menekankan prinsip bersih dan berhemah tanpa kempen hitam serta serangan peribadi turut menjadi antara perkara yang diberikan perhatian.
Sebaliknya, kempen memberi tumpuan kepada rekod khidmat, calon, manifesto serta usaha mendengar dan menjawab persoalan rakyat.
Azalina berkata, kekuatan jentera penerangan dan digital serta disiplin dalam penyampaian naratif turut memainkan peranan penting dalam memastikan mesej BN kekal konsisten, khususnya dalam mendekati pengundi muda.
“Disiplin ini mesti diteruskan: fokus pada khidmat, jawab dengan fakta dan jangan terheret oleh provokasi. Pilihan Raya Negeri Melaka adalah mengenai rakyat dan negeri Melaka,” katanya.
Mengulas tanggungjawab selepas kemenangan, beliau menegaskan bahawa mandat yang diberikan rakyat perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan manifesto, pembukaan peluang pekerjaan kepada golongan muda serta pentadbiran yang bersih, cekap dan mesra rakyat.
Katanya, kerajaan negeri BN-PN perlu berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kawasan mahupun kaum.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar kawasan yang belum dimenangi dan pengundi yang masih belum yakin terus didekati, didengar serta difahami.
“Gelombang Biru ialah gelombang rakyat dan ia merupakan kesinambungan daripada bukti khidmat bakti dan gerak kerja memajukan bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata, semangat berpasukan dan pendekatan kempen berhemah yang ditunjukkan sepanjang PRN Melaka perlu diteruskan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang. – UMNO Online
