Ahmad Zahid Ucap Tahniah Ab Rauf Teruskan Amanah Ketua Menteri Melaka

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas pelantikan untuk meneruskan amanah sebagai Ketua Menteri Melaka.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan rakyat itu hadir bersama tanggungjawab besar untuk meneruskan usaha pembangunan yang telah dilaksanakan, selain memperkukuh kestabilan negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Kepercayaan yang diberikan rakyat ini membawa bersama tanggungjawab yang besar untuk meneruskan segala usaha yang telah dibina, di samping memperkukuh kestabilan negeri dan memastikan setiap pembangunan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Melaka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau yakin pengalaman dan kepimpinan Ab Rauf mampu memastikan kesinambungan kemajuan Melaka terus diperkukuh, selain membuka lebih banyak peluang kepada rakyat di seluruh negeri.

Katanya, segala usaha pembangunan perlu diteruskan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh masyarakat secara menyeluruh.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kebijaksanaan dan petunjuk kepada Ab Rauf dalam melaksanakan tanggungjawab serta memimpin Melaka ke arah masa depan yang lebih maju dan sejahtera.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kebijaksanaan dan petunjuk kepada Datuk Seri dalam memikul amanah ini serta terus memimpin Melaka ke arah masa depan yang lebih maju dan sejahtera.

“Tahniah dan selamat menjalankan amanah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO