PRN Melaka: Jangan Terperangkap Zon Selesa, Keluar Mengundi Awal Pagi – Helmy

MELAKA, 12 Nov — Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengingatkan jentera parti dan pengundi agar tidak terperangkap dalam zon selesa, sebaliknya keluar menunaikan tanggungjawab seawal pagi pada hari pengundian Sabtu ini.

Beliau berkata, naratif di media sosial yang menggambarkan dirinya sudah pasti memenangi kerusi tersebut merupakan satu “penyakit” berbahaya yang boleh menyebabkan pengundi mengambil sikap sambil lewa untuk turun ke pusat mengundi.

Menurutnya, kebimbangan itu bertambah berikutan ramalan jabatan kaji cuaca yang menjangkakan hujan lebat bermula dari tengah hari hingga ke petang pada hari pengundian.

“Di Duyong ini, saya tidak takut sama ada orang pilih BN atau tidak, sebaliknya saya lebih takut orang tidak keluar mengundi. Masalah (naratif sudah menang) ini menimbulkan rasa selesa dan menganggap tidak mengapa jika seorang dua tidak keluar mengundi. Ini penyakit yang sangat bahaya.

“Jadi tanggungjawab jentera sekarang adalah memastikan pengundi keluar seawal pagi kerana ramalan kaji cuaca menjangkakan hujan bermula tengah hari hingga ke petang,” katanya ketika berucap pada program sembang santai bersama masyarakat setempat di sini, malam tadi.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengulas lanjut mengenai persaingan kurang daripada 48 jam menjelang hari pengundian, penyandang kerusi DUN Duyong itu menegaskan kesiapsiagaannya bukan bersifat bermusim, sebaliknya berasaskan rekod kerja berterusan selama empat tahun lapan bulan sejak pilihan raya negeri lalu sehingga DUN dibubarkan pada September lepas.

Beliau menyifatkan tempoh perkhidmatannya sebagai satu “lari pecut” tanpa henti berbanding pihak lawan yang didakwa baru mula turun padang meninjau masalah rakyat sepanjang tempoh berkempen.

“Pengundi di Duyong hanya mempunyai dua pilihan pada hari mengundi nanti. Di kanan ada Mohd Noor Helmy dengan rekod dan bukti kerja sepanjang lima tahun yang telah kita beri, manakala di kiri ada Poo Long Suan dengan janji yang belum pasti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy turut membidas tindakan pihak lawan yang didakwa ketandusan isu tempatan di Melaka sehingga terpaksa menjaja isu di peringkat Persekutuan selain memainkan sentimen menakut-nakutkan pengundi bukan Islam terhadap kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga mempersoalkan sikap lawan yang kini melabel gabungan itu sebagai rasis, sedangkan dakwaan sedemikian tidak pernah timbul sepanjang tempoh kerjasama membentuk kerajaan negeri dari tahun 2023 hingga 2026.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO