Letak Jawatan Isu Pengampunan Agong Bukan Bukti Berprinsip
JASIN, 11 Nov – Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan tidak seharusnya dijadikan asas kepada tindakan meletakkan jawatan sebagai tanda protes.
“Pengampunan yang diberikan oleh Tuanku Agong itu satu perkara yang saya rasa kurang eloklah. Kerana dengan beban begitu bukan isu prinsip yang diperkatakan.
“Bagi saya kita mempersoalkan kuasa mutlak Tuanku Agong. Kerana di dalam perlembagaan, pengampunan itu kuasa mutlak Agong. Itu termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sembang Santai bersama masyarakat setempat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rim di sini hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semalam mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet, berkuat kuasa serta-merta.
Loke dalam satu kenyataan berkata, ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah.
Tambah Mohamad, tindakan meletakkan jawatan atas alasan memprotes isu pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak disifatkan sebagai sesuatu yang kurang molek.
“Jadi jangan kita kata bahawa kita letak jawatan kerana Datuk Najib. Itu tak baik. Bukan masalah prinsip. Prinsip macam-macam.
“Tapi bila isu pengampunan ini dipersoalkan, dijadikan sebagai protes, meletakkan jawatan, saya rasa itu kurang moleklah. Kerana mesti faham, semua rakyat mesti faham perlembagaan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Perlembagaan negara jelas memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong.- UMNO Online
