Wanita UMNO Gesa Titah Pengampunan Bersyarat Dilaksanakan Segera
KUALA LUMPUR, 7 Nov – Wanita UMNO Malaysia menegaskan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, perlu dihormati dan dilaksanakan segera selaras dengan prinsip Raja Berperlembagaan.
Wanita UMNO dalam satu kenyataan berkata, titah Seri Paduka Baginda berhubung pengampunan bersyarat itu adalah jelas dan tidak seharusnya menimbulkan sebarang kekeliruan.

Menurut kenyataan itu, semua syarat yang ditetapkan, termasuk pembayaran denda sebanyak RM50 juta, telah dipenuhi sepenuhnya.
Sehubungan itu, Wanita UMNO berpandangan Najib sewajarnya dibenarkan menjalani baki hukuman menerusi kaedah tahanan di rumah sebagaimana yang diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.
“Menghormati titah Raja ialah asas kepada sistem Raja Berperlembagaan yang kita amalkan. Kedaulatan institusi Raja dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan mesti dipelihara oleh semua pihak, tanpa mengira kedudukan,” menurut kenyataan itu.
Wanita UMNO turut mengingatkan bahawa walaupun setiap pihak mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan secara berhemah, keputusan yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong wajar dihormati.
“Setelah Seri Paduka Baginda bertitah dengan jelas, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah diperkenankan dan tidak lagi memanjangkan polemik yang hanya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Wanita UMNO Malaysia menyeru supaya titah berkenaan dilaksanakan dengan segera bagi mengelakkan ketidakpastian berpanjangan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Menurut kenyataan sama, penangguhan pelaksanaan perkara itu hanya akan mengundang persoalan dan polemik dalam kalangan masyarakat.
Wanita UMNO turut mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya kekal tenang, menghormati undang-undang serta bersama-sama memelihara keharmonian negara.
“Wanita UMNO Malaysia akan terus setia menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong serta mempertahankan kedaulatan Raja dan keluhuran Perlembagaan,” menurut kenyataan itu. – UMNO Online
