Birukan Melaka, Teruskan Pembangunan Pantai Kundor – Tuminah Kadi
TANGGA BATU, 6 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berharap rakyat Melaka memberikan mandat sekali lagi kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi membolehkan kesinambungan agenda pembangunan yang telah dirancang kerajaan negeri dapat diteruskan.
Menurut beliau, mandat baharu amat diperlukan bagi memastikan pelbagai perancangan pembangunan, khususnya di kawasan Pantai Kundor yang mempunyai potensi sebagai kawasan ekonomi pesisir, dapat direalisasikan sepenuhnya.
“Saya berharap rakyat Melaka memberikan ruang sekali lagi untuk membirukan negeri ini supaya segala perancangan pembangunan yang telah kita susun dapat diteruskan dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat.
“Saya mahu mempertahankan kerusi ini kerana masih banyak pembangunan yang telah kita mulakan. Terdapat beberapa perkara yang memerlukan kesinambungan serta untuk diselesaikan.
“Pembangunan sektor ekonomi di Melaka juga perlu diberikan perhatian kerana ia berupaya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda, sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka untuk mencari pekerjaan di luar Melaka,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah Tuminah, perancangan menjadikan Melaka sebagai negeri perindustrian perlu disokong dengan pembangunan ekonomi yang menyeluruh, termasuk memanfaatkan potensi kawasan pesisir seperti Pantai Kundor.
“Apabila Melaka terus berkembang sebagai pusat ekonomi dan perindustrian, peluang pekerjaan akan lebih terbuka kepada anak-anak muda. Mereka tidak perlu lagi berhijrah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan kerana peluang itu boleh diwujudkan di negeri sendiri.
“Justeru, saya berharap rakyat dapat bersama-sama merealisasikan harapan dan perancangan pembangunan yang telah kita usahakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Tuminah berkata pendekatan pentadbiran kerajaan negeri menerusi slogan Melaka Sayang Rakyat turut diterjemahkan melalui pelbagai program turun padang bagi memastikan keperluan rakyat diberikan perhatian secara langsung.
“Melalui inisiatif program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dapat mendengar aduan serta menyelesaikan permasalahan penduduk. Bagi permasalahan yang boleh diselesaikan segera, kita berusaha menyelesaikannya dalam waktu secapatnya, manakala perkara yang melibatkan perundangan atau prosedur tertentu perlu melalui proses ditetapkan.
“Pendekatan berkenaan membuktikan kerajaan negeri tidak hanya menunggu rakyat datang mengemukakan aduan, sebaliknya kepimpinan negeri bersama agensi berkaitan turun sendiri menemui masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi,” katanya lagi.
Ujarnya, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menunjukkan usaha kerajaan negeri dalam mendekati rakyat serta memastikan pembangunan dan kebajikan masyarakat terus diberikan perhatian. – UMNO Online
