‘Manifesto BN Melaka Berteraskan Aspirasi Rakyat’ – Rauf
HANG TUAH JAYA, 3 Nov – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dibentangkan pada Jumaat ini dengan memberi tumpuan kepada aspirasi serta keperluan sebenar rakyat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi BN negeri berkata, manifesto berkenaan dirangka berdasarkan dapatan dan maklum balas menerusi pelbagai program wakil rakyat bersama masyarakat.
“Kita menjadikan realiti daripada dapatan yang diperoleh dalam program wakil rakyat bersama rakyat, diterjemahkan menjadi dasar dan ia akan dibentangkan sebagai manifesto untuk diselusuri sewaktu kita menguruskan pentadbiran,” katanya.
Abd Rauf berkata demikian ketika sidang media di Bilik Gerakan DUN Ayer Molek, di sini hari ini.
Turut hadir calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan calon Perikatan Nasional DUN Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata setiap parti politik mempunyai ideologi dan pendirian tersendiri dalam memperjuangkan aspirasi masing-masing.
Justeru, katanya, UMNO dan BN akan terus berpegang kepada pendirian, pendekatan serta acuan politik sendiri dalam membuktikan kemampuan untuk menawarkan yang terbaik kepada rakyat.

“Saya tidak hendak berbahas tentang apa yang pihak lain boleh buat. Mungkin mereka boleh buat lebih baik daripada kita, tetapi kita juga boleh buat yang terbaik untuk rakyat. Mereka dengan cara mereka, kita dengan cara kita.
“Mungkin dia boleh buat lebih baik daripada kita, tapi kita juga boleh buat yang terbaik untuk rakyat. Jadi, dia cara dia, kita cara kita.
“Masing-masing mempunyai politikal ideologi tersendiri. UMNO/BN dan Perikatan Nasional tetap dengan cara kita dan buktikan bahawa kita juga boleh memberi yang terbaik kepada rakyat,” ujar beliau.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala hari pengundian awal pada 10 November.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 September lalu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam. – UMNO Online
