Cadangan Perluas Bidang Kuasa Tribunal Antibuli Perlu Diteliti – Azalina
KUALA LUMPUR, 20 Okt – Cadangan untuk memperluas bidang kuasa tribunal antibuli kepada individu berumur 18 tahun ke atas termasuk pelajar universiti, memerlukan pertimbangan lanjut oleh Jemaah Menteri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman said.
Beliau berkata kerajaan belum membuat keputusan berhubung perkara itu, yang memerlukan perbincangan dengan kementerian berkaitan.
“Saya tahu ramai tertanya-tanya apa yang akan berlaku apabila anda berusia lebih 18 tahun? Bagaimana dengan universiti? Perkara ini sering dibangkitkan dalam perbincangan kami ketika turun padang dan ramal yang bertanyakan mengenainya.
“Perkara berkenaan perlu dibincangkan bersama-sama kementerian berkaitan. Setakat ini, kami belum membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya.

Azalina ditemui pemberita selepas menghadiri Program Literasi Antibulli Sempena Akta Antibu2026 bersama-sama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri peringkat Institut Pendidikan Guru (PG) Kementerian Pendidikan di IPG Kampus Bahasa Melayu di sini semalam.
Hadir sama Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek
Azalina berkata tribunal berkenaan masih dilaksanakan secara berperingkat bagi menangani kes buli dalam kalangan pelajar sekolah manakala sebarang peluasan bidang kuasanya perlu mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keadaan golongan muda berusia 18 tahun ke atas.
Beliau berkata secara umumnya, individu berusia 18 tahun ke atas dianggap mampu menjaga diri sendiri, namun keperluan dan cabaran dihadapi golongan muda juga perlu diambil kira.
Mengenal sama ada kes buli boleh dirujuk semula kepada tribunal jika pelaku yang sama mengulangi kesalahan terhadap mangsa yang sama selepas kes berkenaan diselesaikan sebelum ini, Azalina berkata perkara itu akan diteliti berdasarkan keadaan setiap kes.
“Bagi sesetengah kes, penilaian dan keadaannya berbeza. Ada yang akan ditolak dan ada yang diterima tetapi pada asasnya, kita mahu tribunal ini berfungsi sebagai sistem intervensi,” katanya.
Azalina berkata tribunal berkenaan akan mengambil kira keadaan mangsa dan pelaku, termasuk kesejahteraan emosi mereka dan bukan sekadar menumpukan kepada pampasan atau hukuman.
“Apabila pihak tribunal membuat keputusan, ia turut merangkumi bantuan tertentu bagi menangani cabaran emosi dan isu-isu lain. Jadi, perkara ini bukan sekadar berkaitan ganti rugi atau hukuman,” katanya. – BERNAMA
