Ahmad Zahid Seru Bakal Pemimpin Awam Jadi ‘Hands-on’, Berani Buat Keputusan
KUALA LUMPUR, 21 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan kepentingan keseimbangan antara kebahagiaan fizikal (physical happiness) dan kebahagiaan spiritual (spiritual happiness) dalam membentuk kepimpinan serta masa depan perkhidmatan awam.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, penyediaan infrastruktur yang baik, peluang pekerjaan, pendapatan dan kemudahan mencukupi perlu diseimbangkan dengan perhatian terhadap hati, pemikiran, nilai serta perasaan dihargai.

“Satu perkara yang saya tekankan sebentar tadi ialah mengenai pentingnya perimbangan antara ‘physical happiness’ dan ‘spiritual happiness’,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas berkongsi pandangan dan pengalaman bersama peserta Program Kepimpinan dan Pengurusan Lanjutan (ALMP) Siri 89 di INTAN Bukit Kiara, hari ini.
Dalam perkongsian itu, Ahmad Zahid turut berpesan kepada penjawat awam yang bakal menerajui perkhidmatan awam pada masa hadapan supaya menjadi pemimpin yang turun padang, berani membuat keputusan dan sentiasa mencari ruang untuk membawa perubahan.
“Pesan saya kepada para penjawat awam yang bakal menerajui perkhidmatan awam pada masa hadapan, jadilah pemimpin yang ‘hands-on’, berani membuat keputusan dan sentiasa mencari ruang untuk mencipta ‘game changer’,” katanya.
Beliau berharap segala perkongsian dan pengalaman yang diperoleh peserta dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam perjalanan kepimpinan masing-masing. – UMNO Online
