“Sumbang Tabung Harapan Lebih ‘Stupid’ Daripada Tabung Najib” – Hasnal Rezua
KUALA LUMPUR, 20 Okt – Peguam dan bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Datuk Hasnal Rezua Merican, membangkitkan persoalan mengenai ketelusan Tabung Harapan Malaysia dengan menyifatkan sumbangan kepada tabung itu sebagai lebih sia-sia berbanding sumbangan bagi membantu Datuk Seri Najib Razak.
Hasnal berkata, terdapat sebahagian rakyat Malaysia yang berpendapat sumbangan kepada Tabung Harapan dahulu lebih wajar dipersoalkan berbanding kutipan dana bagi membantu membayar denda bekas Perdana Menteri itu.
“Bagi sebahagian rakyat Malaysia, menyumbang kepada Tabung Harapan adalah ‘more stupider’ ketimbang apa yang Umairah labelkan sebagai ‘the most stupidest thing’,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang berkata demikian merujuk kepada pandangan seorang mahasiswa Universiti Malaya, Ummi Umairah, yang mengkritik sumbangan berbentuk ‘crowdfunding’ bagi membantu membayar denda Najib.
Mengulas reaksi terhadap pandangan mahasiswa berkenaan, Hasnal berkata beliau mungkin tidak bersetuju dengan pendirian Umairah, namun tetap mempertahankan haknya untuk bersuara.
Namun begitu katanya sokongan sebahagian rakyat terhadap Najib juga tidak boleh dipandang ringan kerana mereka masih mengingati jasa bekas Perdana Menteri itu.
“Pada penilaian sebahagian rakyat Malaysia seperti mereka, menyumbang kepada tabung berkenaan ‘is not stupid at all’, jauh sekali ‘being the most stupidest thing’,” katanya.
Hasnal turut menyebut populariti Najib menerusi gelaran ‘Bossku’ sebagai antara faktor yang menjelaskan mengapa beliau masih mendapat sokongan sebahagian rakyat.
Katanya, mingkin dalam analisis Umairah, beliau tidak mengambil kira faktor-faktor berikut yang terbuku di dalam ingatan kolektif sebahagian rakyat Malaysia:
a) Jasa-Jasa Dato’ Sri Najib masih dikenang oleh sebahagian Rakyat Malaysia;
b) Di mana-mana Dato’ Sri Najib berkempen dengan menggunakan moniker ‘Bossku’, beliau akan menawan sokongan yang besar buat Barisan Nasional, sehinggalah pemenjaraan beliau;
c) Terdapat sebahagian Rakyat yang mempertikaikan proses perbicaraan Dato’ Sri Najib kerana ramai saksi-saksi penting tidak dikemukakan;
d) Tidak kurang juga yang meragui rayuan akhir Datuk Seri Najib di Mahkamah Persekutuan telah dilupuskan secara sah kerana beliau telah dinafikan hak untuk didengar. Apatah lagi bila Hakim Besar Sabah dan Sarawak mengkritik keras proses rayuan tersebut;
e) Selepas pemenjaraan Datuk Seri Najib, dua Yang Di Pertuan Agong berkenan untuk memberikan pengampunan dan lega hukum kepada beliau.
Dalam pada itu, Hasnal mempersoalkan status audit Tabung Harapan serta peningkatan hutang negara yang didakwanya meningkat daripada sekitar RM680 bilion ketika tabung itu dilancarkan kepada RM1.4 trilion selepas lapan tahun.
“Sudahlah Tabung itu tidak pernah diaudit untuk menunjukkan penggunaannya, Tabung itu dilancar ketika hutang negara berjumlah sekitar RM680 billion. Negara dimomokkan bakal muflis. Fast forward 8 tahun kemudian, negara kini dipimpin oleh mereka yang memomokkan kemuflisan Malaysia dan mengamal tatakelola kewangan yang baik.
“Tabung Harapan masih tidak diaudit. Hutang negara sudah membengkak ke RM1.4 trillion. Bajet yang dibentangkan menunjukkan defisit RM79 billion. Ada potensi hutang negara bertambah dan tiada strategi dibentang bagaimana hutang negara hendak disusutkan,” katanya lagi. – UMNO Online
