UMNO Putatan Utama Kesejahteraan Penduduk, Cadang Langkah Mitigasi Banjir Kilat
PUTATAN, 20 Okt – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca tidak menentu yang berisiko mengundang kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.
Beliau berkata demikian selepas turun padang ke Kampung Duvanson, Putatan, bagi melihat sendiri kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran sebuah rumah penduduk, selain meneliti langkah awal yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan keluarga terjejas terpelihara.
“Keutamaan kita ketika ini ialah memastikan keselamatan keluarga yang terjejas terjamin terlebih dahulu. Usaha-usaha lain akan menyusul dengan kadar segera, insya-Allah. Kita berharap keluarga ini sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.” katanya.

Selesai lawatan itu, Jeffery kembali ke pejabatnya untuk bertemu beberapa penduduk yang hadir bagi menyampaikan aduan serta mendapatkan bantuan. Beliau berkata, segala bentuk bantuan yang termampu akan diusahakan bagi meringankan beban mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Jeffery turut membangkitkan isu banjir kilat yang sering berlaku di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau dan laluan di Kampung Ketiau, Putatan, susulan hujan lebat yang melanda daerah berkenaan.
Menurut beliau, pihak pentadbiran Daerah Putatan disaran mempertimbangkan langkah mitigasi lebih awal dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko banjir kilat berulang, sekali gus melindungi keselamatan penduduk serta kelancaran pergerakan harian masyarakat setempat.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk menaik taraf sistem perparitan dengan membesarkan longkang dan saliran, melaksanakan kerja pembersihan longkang secara berkala bagi mengelakkan sumbatan sampah serta lumpur, dan membina kolam takungan air di lokasi yang bersesuaian.
Selain itu, penanaman lebih banyak pokok bagi membantu penyerapan air ke dalam tanah serta penguatkuasaan undang-undang terhadap pembuangan sampah secara haram dan pembangunan tidak terancang turut dicadangkan sebagai sebahagian daripada usaha pencegahan jangka panjang.
“Saya berharap cadangan ini dapat dipertimbangkan oleh pihak pentadbiran daerah dan agensi berkaitan supaya tindakan awal dapat dilaksanakan di kawasan yang sering dilanda banjir kilat. Kita mahu masalah ini ditangani secara berperingkat dan berkesan demi keselamatan penduduk serta kepentingan masyarakat setempat.” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama antara pihak berkuasa, agensi teknikal dan masyarakat dapat diperkukuh bagi mengenal pasti kawasan berisiko serta menentukan penyelesaian yang sesuai berdasarkan keadaan sebenar di lapangan. – UMNO Online
