Lawatan Kerja Ke Jepun: Mempererat Hubungan, Memperkukuh Kerjasama Pertahanan

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata berlandaskan Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan Jepun, beliau berharap lawatannya ke negara matahari terbit itu dapat memperkukuh hubungan pertahanan serta memperluas ruang kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Mohamed Khaled tiba di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, bagi memulakan lawatan kerja pertamanya ke Jepun selama empat hari bermula hari ini hingga 21 Oktober 2026.

“Antara agenda utama lawatan ini ialah mesyuarat bilateral bersama Menteri Pertahanan Jepun, TYT Shinjiro Koizumi.

“Saya juga dijadual mengadakan mesyuarat bilateral bersama Menteri Luar Jepun, TYT Toshimitsu Motegi, serta menghadiri majlis menandatangani dokumen bantuan geran di bawah program Official Security Assistance (OSA) Kerajaan Jepun.

“Lawatan ini turut melibatkan pertemuan bersama Acquisition, Technology & Logistics Agency (ATLA) serta lawatan ke syarikat pertahanan Jepun, Toshiba,” katanya.

Ketibaan Mohamed Khaled disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, TYT Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani serta Atase Pertahanan Malaysia di Tokyo, Kepten Mohamad Fazri Ibrahim TLDM.

Turut bersama dalam lawatan ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud dan Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Haji Muhammad Huzaimi Sabri.

Seterusnya, Mohamed Khaled berharap agar segala usaha itu membawa manfaat nyata kepada pertahanan negara, di samping meningkatkan persefahaman dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO