Kebebasan Bersuara Perlu Seiring Dengan Adab, Kematangan – Rosnah

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata beliau menghormati kebebasan bersuara, lebih-lebih lagi datang daripada mahasiswa dan mahasiswi, golongan intelektual muda yang bakal menjadi generasi penerus kepimpinan negara.

Ujarnya, pandangan anak muda wajar didengar, diraikan dan diberikan ruang dalam masyarakat yang mengamalkan demokrasi.

“Namun, kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk menghina atau memperlekehkan orang lain. Apabila seorang pelajar Universiti Malaya (UM) mengeluarkan kenyataan yang merendahkan individu yang menderma untuk membantu Datuk Seri Najib Razak, pada saya, di sinilah letaknya kesilapan beliau.

“Beliau berhak tidak bersetuju dengan tindakan para penderma, tetapi memperlekehkan pilihan mereka adalah tidak wajar. Setiap individu mempunyai hak untuk menentukan ke mana wang mereka ingin disalurkan, selagi sumbangan itu dibuat secara sukarela dan tanpa paksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mungkin pelajar tersebut terlepas pandang bahawa amalan mengutip derma untuk membantu pemimpin atau membiayai urusan perundangan bukanlah sesuatu yang hanya dilakukan oleh UMNO.

“Pada tahun 2020, Dap melancarkan kempen Solidarity with Lim Guan Eng yang mengumpulkan RM3.947 juta bagi membantu membayar wang ikat jamin beliau.

“Pada tahun 2016 pula, PKR menyatakan hasrat mendapatkan sumbangan orang ramai bagi menampung kos guaman RM50,000 selepas saman berkaitan Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) ditolak mahkamah,” katanya.

Jelasnya lagi, fakta itu menunjukkan bahawa usaha mendapatkan sumbangan orang ramai juga pernah dilakukan oleh parti lain, walaupun tujuan dan keadaan setiap kutipan berbeza.

“Persoalannya, adakah kita bersedia menghormati hak orang lain membuat pilihan sendiri, walaupun pilihan itu berbeza daripada pendirian kita?

“Jika kita mempertahankan hak penyokong parti sendiri untuk menderma, prinsip yang sama juga perlu diberikan kepada penyokong pihak lain,” katanya.

Seterusnya, Rosnah berpesan mereka yang bersetuju dan mempertahankan tindakan pelajar itu agar fikirkan nilai kepimpinan yang sedang disemai dalam kalangan generasi muda.

“Adakah kita mahu melahirkan pemimpin yang tidak menjaga adab, menggunakan bahasa kesat dan menyemai kebencian terhadap pemimpin parti lain? Elemen sebegini tidak sepatutnya dipupuk sejak awal.

“Jika budaya ini terus dinormalisasikan, kita bimbang akan lahir pemimpin yang merasakan diri mereka sahaja yang benar, sukar menerima perbezaan pandangan dan tidak mempunyai empati terhadap orang lain,” katanya.

Selanjutnya ujar Rosnah, setiap pemimpin mempunyai jasa dan sumbangan kepada negara, walau sekecil mana pun.

“Janganlah kerana kebencian, kita sanggup menafikan jasa seseorang, lebih-lebih lagi pemimpin yang pernah melakukan perkara besar demi negara dan rakyat. Apabila pemimpin tersebut dihina dan dijatuhkan maruahnya, seolah-olah perbuatan itu boleh diterima, malah direstui.

“Berbeza pandangan itu tidak salah, tetapi jangan sampai kebencian menghapuskan rasa hormat dan menafikan jasa seseorang,” katanya.

Begitu juga ujarnya apabila video pelajar itu tular dan beliau menerima kecaman hebat daripada orang ramai, ada yang beranggapan bahawa kecaman tersebut datang daripada ahli UMNO.

“Pada saya, kita tidak seharusnya membuat kesimpulan sedemikian. Tidak semua yang mengkritik beliau ialah ahli atau penyokong UMNO. Sesiapa sahaja, tanpa mengira fahaman politik, boleh mengkritik kenyataan yang dianggap keterlaluan. Kritikan terhadap kata-kata yang digunakan tidak semestinya bermotifkan politik.

“Jika ingin menjadi seorang pemimpin, kita tidak perlu berlagak seperti hero dengan melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya semata-mata untuk menarik perhatian. Pada pandangan saya, beliau tentu memahami kesan daripada kata-kata yang digunakan dan menyedari bahawa kenyataan sedemikian berpotensi menjadi tular.

“Mungkin beliau menjangkakan sokongan daripada mereka yang mempunyai fahaman dan pendirian yang sehaluan dengannya. Namun, sokongan terhadap sesuatu tindakan tidak semestinya menjadikan tindakan itu wajar atau betul,” katanya.

Tegasnya lagi, kita boleh berbeza pandangan tanpa menghina dan mengkritik keputusan seseorang tanpa memperlekehkan dirinya.

“Kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab. Kematangan dalam demokrasi bukan sekadar keberanian menyuarakan pendapat, tetapi juga kebijaksanaan menjaga adab, menghormati pilihan orang lain dan menerima kritikan terhadap pandangan sendiri.

“Akhirnya, kita tidak semestinya perlu bersetuju dengan pilihan orang lain, tetapi kita tetap perlu menghormatinya. Itulah asas sebuah masyarakat yang matang dan saling menghormati,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO