Kampung Digital, Kubur Digital Kg Pulau Jadi Rujukan Peringkat Negeri Dan Negara

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkongsi bersama masyarakat Kampung Pulau, Masjid Tanah menjadi antara perintis kepada pelaksanaan Kampung Digital dan Kubur Digital yang menjadi rujukan di peringkat negeri dan negara.

Dalam satu perkongsian di Facebook, Ab Rauf bersyukur hari ini beliau cukup berbangga dapat bersama-sama anak-anak watan Kampung Pulau dan Seri Jeram dalam ‘Majlis Perjumpaan Anak-Anak Kampung Pulau Teq dan Seri Jeram Tahun 2026’ di Dewan Terbuka Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka.

“Saya turut kongsikan bagaimana Kampung Pulau menjadi antara perintis kepada pelaksanaan Kampung Digital dan Kubur Digital di Melaka. Apa yang bermula di kampung ini akhirnya menjadi rujukan di peringkat negeri dan negara, khususnya dalam mengurus alamat kediaman serta memudahkan pencarian pusara secara lebih sistematik.

“Lebih membanggakan, pembangunan Balai Islam Kampung Pulau yang bakal menempatkan masjid, sekolah agama dan pusat tahfiz juga sedang dibangunkan sebagai satu lagi legasi untuk generasi akan datang,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka itu.

Ab Rauf juga percaya pembangunan bukan hanya tentang bangunan dan kemudahan tetapi yang sebenar ialah apabila ia ditinggalkan menjadi sesuatu yang boleh dimanfaatkan anak cucu dan masa depan mereka.

Mengulas mengenai Kampung Pulau, Ab Rauf berkata ia bukan sekadar sebuah kampung yang turut mempunyai sejarahnya tersendiri.

“Kampung ini juga telah melahirkan ramai anak jati yang berjaya dan banyak menabur bakti kepada negeri serta negara.

“Ada yang menjadi pegawai daerah, ahli politik, pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), anggota tentera berpangkat tinggi, doktor dan pelbagai lagi tokoh dalam perkhidmatan awam serta masyarakat.

“Inilah kekuatan sebenar sesebuah kampung apabila warganya berjaya, tetapi tidak pernah melupakan akar dan tanah tempat mereka membesar,” kata anak jati Kampung Pulau itu lagi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO