PETAH KPM 2026: MB Ucap Tahniah Kepada Warga Pendidikan N. Sembilan

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Menteri Besar Datuk Ismail Lasim mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah mengharumkan nama Negeri Sembilan menerusi kejayaan dalam PETAH KPM 2026 Peringkat Kebangsaan khususnya dalam pertandingan pidato, public speaking dan choral speaking.

Dalam satu status di laman sosial Facebook dan Threads, Ismail berharap mereka terus mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negeri di persada negara.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa anak-anak Negeri Sembilan memiliki bakat, keyakinan dan potensi besar untuk bersaing di peringkat kebangsaan.

“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus berani mencuba, mengasah kebolehan dan melakar kejayaan dalam bidang masing-masing,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu.

Ismail mengucapkan syabas kepada Muhammad Iman Muayyad Ashar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Telok Kemang, Port Dickson yang meraih tempat pertama, Nik Nur Balqis Irdina Nik Rozi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yamtuan Radin, Port Dickson yang memperoleh tempat kelima, Leynash A/L Shatya Kugan dari Sekolah Kebangsaan (SK) St Paul, Seremban yang meraih naib johan serta SMK Taman Semarak, Nilai yang turut memperoleh tempat kelima dalam pertandingan choral speaking.

Selanjutnya, Ismail turut menzahirkan penghargaan kepada guru, ibu bapa dan seluruh warga sekolah yang sentiasa membimbing serta menyokong perjalanan anak-anak ini.

“Teruskan melangkah dengan penuh keyakinan kerana masa depan Negeri Sembilan terletak pada potensi dan kecemerlangan generasi muda hari ini,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO