Warden Sepenuh Masa Perlu Diperluas, Kurangkan Beban Guru

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Kerajaan disaran menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan Negara bagi melaksanakan pelantikan warden sepenuh masa secara berperingkat di sekolah-sekolah berasrama seluruh negara bagi mengurangkan beban guru serta memperkukuh aspek disiplin, keselamatan dan kebajikan pelajar.

Pengerusi MARA merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, guru sepatutnya diberikan ruang untuk menumpukan perhatian kepada tugas hakiki mereka, iaitu mendidik dan membentuk masa depan generasi muda, tanpa dibebani tanggungjawab tambahan menguruskan asrama siang dan malam.

Menurut beliau, elaun sekitar RM300 sebulan yang diterima guru sebagai warden tidak setimpal dengan beban tugas, risiko dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul.

“Guru sepatutnya diberikan ruang untuk fokus kepada tugas hakiki mereka, iaitu mendidik dan membentuk masa depan anak bangsa, bukannya terus dibebankan dengan tanggungjawab tambahan termasuk menguruskan asrama siang dan malam,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Beliau berkata, pengalaman kajian rintis di 10 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang melibatkan pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera menunjukkan keberkesanan pendekatan itu dalam memperkukuh disiplin, meningkatkan pemantauan serta menangani gejala buli.

Katanya, pengalaman berkenaan membuktikan pengurusan asrama memerlukan petugas khusus yang terlatih, berdisiplin dan mampu memberikan perhatian sepenuhnya terhadap kebajikan serta keselamatan pelajar.

Sehubungan itu, beliau berpandangan sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan model warden sepenuh masa secara lebih meluas melalui peruntukan khusus kepada Kementerian Pendidikan.

“Ini bukan sekadar soal mengurangkan beban guru, tetapi pelaburan penting demi keselamatan, kesejahteraan dan pembentukan sahsiah generasi masa depan.

“Asrama bukan sekadar tempat tidur, tetapi rumah kedua anak-anak kita yang menuntut pengawasan dan perhatian sepanjang masa,” katanya.

Asyraf Wajdi turut mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu berkira dalam menyediakan peruntukan bagi menggaji warden sepenuh masa kerana implikasi kegagalan memastikan keselamatan dan disiplin pelajar boleh membawa kesan yang jauh lebih besar.

“Jangan sampai kita terlalu berkira soal kos menggaji warden, tetapi akhirnya terpaksa membayar harga yang jauh lebih mahal apabila keselamatan, disiplin dan masa depan anak-anak menjadi taruhan,” katanya.

Beliau menegaskan, pelantikan warden sepenuh masa bukan sahaja berpotensi mengurangkan beban tugas guru, malah dapat memperkukuh sistem pengawasan asrama dan mewujudkan persekitaran yang lebih selamat serta kondusif untuk pelajar. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO