Tak Banyak Alasan: Pemuda UMNO Putrajaya Terus Santuni Rakyat
PUTRAJAYA, 14 Okt – Komitmen menyantuni rakyat diteruskan menerusi penyerahan sumbangan bakul makanan ‘Tak Banyak Alasan’ Fasa Ketiga kepada warga Putrajaya di Presint 11 oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya, Dr Tengku Iqbal Munawwir Tengku Adnan.
Inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban penerima, khususnya dalam menghadapi kos sara hidup, selain memastikan kebajikan masyarakat terus mendapat perhatian.
Menurut Dr Tengku Iqbal, perjuangan membantu rakyat perlu dibuktikan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata.

“Bagi kami, tak banyak alasan untuk terus berbakti. Selagi ada ruang untuk membantu, kita akan turun padang, mendengar denyut nadi rakyat dan berusaha meringankan beban mereka.
“Yang utama ialah rakyat tidak rasa terpinggir. Kita mahu mereka tahu bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya.
Memasuki fasa ketiga, program berkenaan mencerminkan kesinambungan usaha mendekati penduduk dan menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Sumbangan bakul makanan diharap dapat membantu memenuhi keperluan harian penerima serta memberi sedikit kelegaan kepada keluarga mereka.
Pendekatan turun padang juga penting bagi memastikan hubungan dengan masyarakat terus diperkukuh, selain membuka ruang untuk memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi penduduk setempat.
Berteraskan slogan ‘Teguh Bersama, Tak Banyak Alasan’, Pemuda UMNO Putrajaya komited meneruskan usaha kebajikan dengan menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, sekali gus membuktikan bahawa khidmat kepada masyarakat perlu dilaksanakan secara berterusan, bukan bermusim. – UMNO Online
