Reformasi AIAC Perkukuh Malaysia Sebagai Hab ADR Antarabangsa – Azalina
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Reformasi melibatkan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), termasuk penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC bertujuan memperkukuh kewibawaan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) yang diyakini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata komitmen kerajaan untuk menyokong AIAC, pada masa sama menghormati kebebasan dan sifat berkecuali institusi itu, amat penting bagi membina keyakinan dalam kalangan komuniti perniagaan serta pelabur terhadap kerangka timbang tara negara.

“Penubuhan Mahkamah Timbang Tara AIAC, seiring dengan keistimewaan dan kekebalan yang diberikan di bawah perjanjian negara tuan rumah, memperkukuh komitmen kerajaan untuk memperkasakan AIAC.
“Reformasi ini memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang diyakini oleh komuniti perniagaan dan pelabur di seluruh dunia, sekali gus memberikan jaminan bahawa pertikaian komersial mereka akan dikendalikan dengan baik,” katanya dalam ucapan khas sempena pelancaran Minggu ADR Asia 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran.
Azalina berkata pusat timbang tara yang diyakini memerlukan ekosistem yang menyeluruh, merangkumi infrastruktur perundangan, sokongan badan kehakiman, kebebasan dan kesiapsiagaan institusi, serta dasar kerajaan yang mesra perniagaan bagi memudahkan aktiviti perdagangan rentas sempadan.
“Malaysia bukan sahaja perlu mengambil bahagian dalam landskap timbang tara global, malah perlu berusaha untuk turut membentuk hala tujunya pada masa hadapan.
“Pengiktirafan antarabangsa yang kian meningkat terhadap AIAC merupakan satu perkembangan yang menggalakkan. Namun, pengiktirafan ini juga perlu dilihat dari segi keyakinan perniagaan lebih tinggi, peluang pelaburan lebih luas serta manfaat ekonomi lebih besar kepada Malaysia,” katanya.
Menjelang ulang tahun ke-50 penubuhan AIAC pada 2028, Azalina berkata kejayaan institusi itu bukan sahaja diukur berdasarkan jumlah kes timbang tara yang dikendalikan, tetapi juga keupayaannya membina keyakinan, menjamin kelancaran urusan perniagaan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan akses kepada keadilan melalui institusi yang bebas, tadbir urus yang baik dan perkhidmatan berkualiti. – BERNAMA
