Kerajaan Perlu Guna Kaedah Perbelanjaan Pembangunan Berasaskan Keberhasilan

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohamad berpandangan bahawa kerajaan perlu menggunakan kaedah perbelanjaan pembangunan berasaskan keberhasilan.

Ujarnya, kerajaan perlu melihat struktur perbelanjaan yang membentuk belanjawan, bukan sekadar angka defisit sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya ingin memulakan dengan mendukung usaha kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal secara berperingkat. Defisit fiskal yang berada pada paras 5.5 peratus daripada KDNK pada tahun 2022 telah menunjukkan trend penurunan. Bagi tahun 2027, kerajaan menyasarkan defisit sebanyak 3.3 peratus daripada KDNK. Arah penurunan ini penting bagi memperkukuh keyakinan terhadap pengurusan kewangan negara.

“Namun, kita perlu melihat bukan sahaja angka defisit sebagai peratusan KDNK, tetapi juga struktur perbelanjaan yang membentuk belanjawan tersebut. Belanjawan 2027 mengumumkan jumlah keseluruhan perbelanjaan dan pelaburan sebanyak RM510 bilion, meningkat daripada RM470 bilion.

“Namun, daripada RM510 bilion ini, perbelanjaan langsung Kerajaan Persekutuan berjumlah RM459.8 bilion yang terdiri daripada RM376.8 bilion perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion perbelanjaan pembangunan.

“Apa yang menarik perhatian saya ialah perbezaan kadar pertumbuhan kedua-dua komponen ini berdasarkan perbandingan dengan anggaran asal 2026. Perbelanjaan mengurus meningkat sekitar RM38.6 bilion, sedangkan perbelanjaan pembangunan hanya meningkat sekitar RM2 bilion. Perbandingan ini perlu dibaca dengan teliti kerana anggaran 2026 telah disemak semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Tambahnya, kerajaan juga perlu berwaspada apabila sebahagian besar pertambahan perbelanjaan negara digunakan untuk membiayai komitmen semasa, sedangkan ruang untuk membina kapasiti ekonomi masa hadapan berkembang dengan lebih perlahan.

“Jika kita terlalu banyak membelanjakan sumber untuk memenuhi keperluan hari ini, dari manakah datangnya ruang fiskal untuk membiayai keperluan esok? Persoalan ini menjadi lebih penting apabila kita meneliti kedudukan hasil negara bagi tahun 2027. Hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak RM380.8 bilion, sedangkan perbelanjaan mengurus berjumlah RM376.8 bilion.

“Ini bermakna hanya sekitar RM4 bilion hasil dijangka berbaki selepas menampung perbelanjaan mengurus. Dengan kata lain, kira-kira 99 peratus daripada hasil tahunan kerajaan dijangka digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus. Ini satu angka yang wajar mendapat perhatian serius Dewan yang mulia ini.

“Secara agregat, hasil tahunan kerajaan hampir keseluruhannya digunakan untuk membiayai komitmen semasa. Dengan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM83 bilion, keperluan pembiayaan negara masih bergantung secara besar kepada pinjaman, tertakluk kepada kedudukan tunai dan pembiayaan kerajaan secara keseluruhan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa hutang yang ditanggung kerajaan pada hari ini mesti mempunyai justifikasi yang jelas terhadap manfaat yang akan dinikmati pada masa hadapan.

“Meminjam untuk pembangunan tidak semestinya salah. Namun, prinsip yang perlu kita pegang ialah setiap hutang yang ditanggung hari ini mesti mempunyai justifikasi yang jelas terhadap manfaat yang akan dinikmati pada masa hadapan.

“Kita tidak harus berpuas hati kerana sesuatu projek dilabel sebagai perbelanjaan pembangunan. Sebuah projek yang tidak diperlukan, mengalami pembaziran atau gagal mencapai objektif tetap merupakan penggunaan wang rakyat yang tidak cekap walaupun dikategorikan sebagai ‘development expenditure’.

“Justeru, saya ingin mencadangkan supaya kerajaan memperkukuh pendekatan ‘outcome-based development expenditure’, iaitu perbelanjaan pembangunan berasaskan keberhasilan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO