UMNO Tegas, Kebebasan Pendakwaan Tidak Boleh Dikompromi

KAUAL LUMPUR, 13 Okt – UMNO Malaysia menegaskan bahawa kebebasan pendakwaan, akauntabiliti institusi dan kesamarataan di sisi undang-undang mesti dipertahankan tanpa dipengaruhi tekanan politik atau kepentingan mana-mana pihak.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata prinsip kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan secara konsisten tanpa mengira kedudukan politik atau identiti individu yang terlibat.

Menurut beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, dalam isu desakan Ahli Parlimen Jelutong supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memastikan seseorang dituduh semula, perkara asas yang perlu diberikan perhatian ialah kedudukan kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Pertama, Perdana Menteri bukan Pendakwa Raya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara, yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan, tertakluk kepada kerangka perlembagaan dan undang-undang yang berkenaan.

Katanya, keputusan pendakwaan hendaklah dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta dan bukti, bukannya tekanan atau kehendak politik.
Azalina berkata prinsip kebebasan pendakwaan perlu dipertahankan secara konsisten dan tidak boleh diketepikan apabila sesuatu keputusan tidak dipersetujui oleh pihak tertentu.

“Kita tidak boleh menolak campur tangan politik dalam pendakwaan, tetapi pada masa yang sama mendesak Perdana Menteri memastikan pertuduhan dikenakan semula terhadap individu tertentu kerana tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan pilih kasih dalam keputusan pendakwaan perlu dinilai berdasarkan bukti.

Menurutnya, mana-mana pihak berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan dan menuntut penjelasan yang munasabah, namun perbezaan keputusan antara kes tidak dengan sendirinya membuktikan berlakunya campur tangan politik atau layanan berat sebelah.

Dalam perkara berkaitan, beliau berkata Jabatan Peguam Negara telah memberikan penjelasan mengenai alasan permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).

“Kritikan terhadap sesuatu keputusan perlu disokong oleh fakta dan asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik semata-mata,” katanya.

Azalina berkata UMNO turut mempertahankan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang, dengan menegaskan bahawa tiada sesiapa harus diberikan kekebalan daripada undang-undang hanya kerana jawatan atau kedudukan politik.

Pada masa sama, katanya, mana-mana individu, termasuk pemimpin UMNO, berhak mendapat proses undang-undang yang adil dan tidak boleh dijadikan sasaran pendakwaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik.

“Prinsip keadilan mesti terpakai kepada semua, sama ada pemimpin kerajaan, pembangkang atau rakyat biasa,” katanya.

Menyentuh cabaran terhadap keputusan pendakwaan dalam kes Yayasan Akalbudi, Azalina berkata Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan prosiding semakan kehakiman.

Katanya, prosiding berkaitan masih berjalan dan persoalan undang-undang yang dipertikaikan hendaklah diputuskan oleh mahkamah.

“Desakan politik supaya Perdana Menteri menentukan tindakan pendakwaan bukan pengganti kepada proses tersebut,” katanya.

Beliau berkata UMNO menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran undang-undang yang tersedia, sambil menegaskan bahawa proses mahkamah mesti diberikan ruang untuk berjalan tanpa tekanan politik.

“Kebebasan pendakwaan, akauntabiliti institusi dan kesamarataan di sisi undang-undang bukan prinsip yang boleh dipilih mengikut kepentingan politik,” katanya.

Azalina juga menegaskan bahawa UMNO akan terus mempertahankan prinsip bahawa undang-undang mesti ditegakkan secara adil, proses kehakiman dihormati dan keputusan pendakwaan tidak seharusnya ditentukan oleh desakan politik terhadap mana-mana individu. – UMNO Online

KENYATAAN MEDIA KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA – KEBEBASAN PENDAKWAAN TIDAK BOLEH DIKOMPROMI, PROSES KEHAKIMAN MESTI DIHORMATI

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO