KPF: KUSKOP Komited Pastikan Pemulihan, Penstrukturan Dilaksana Secara Berkesan
KUALA LUMPUR, 12 Okt – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited untuk memastikan segala langkah pemulihan dan penstrukturan semula Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) dilaksanakan secara berkesan.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, beberapa langkah pemantauan dan intervensi telah dilaksanakan untuk memastikan KPF terus berada dalam keadaan yang sihat, berdaya maju serta mampu memenuhi tanggungjawabnya kepada anggota.

“Untuk makluman, KUSKOP sentiasa mengambil perhatian terhadap kepentingan KPF, khususnya dalam memastikan hak dan kemaslahatan anggota terus terpelihara.
“Dalam hal ini, KUSKOP melalui SKM memberikan perhatian serius terhadap kedudukan kewangan, tadbir urus dan kemampuan operasi KPF supaya koperasi ini terus berada dalam keadaan yang sihat, berdaya maju serta mampu memenuhi tanggungjawabnya kepada anggota.
“Sehubungan itu, beberapa langkah pemantauan dan intervensi telah dilaksanakan, termasuk melalui jawatankuasa Task Force yang dianggotai oleh wakil FELDA, SKM dan KPF sendiri.
“Jawatankuasa ini berperanan menyelaras pelan pemulihan dan hala tuju KPF, khususnya melalui penyusunan semula aset serta pelaburan, pengukuhan tadbir urus dan penambahbaikan model perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Soal Jawab Menteri di Parlimen, sebentar tadi.
Ujarnya, terdapat beberapa inisiatif telah dilaksanakan untuk meningkatkan kecairan dan keupayaan kewangan KPF.
“Pertama, pelupusan ekuiti syarikat kumpulan FGV yang melibatkan lapan syarikat dengan nilai perolehan sebanyak RM229.8 juta. Kedua, pelupusan ladang Samarahan secara keseluruhan atau sebahagian. Ketiga, pelupusan sebahagian aset Katana secara berfasa.
“Usaha pemulihan ini juga selari dengan model perniagaan baharu yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Julai 2026, khususnya perubahan model perniagaan FGV Palm Industries daripada kaedah tolling kepada model komersial yang berpotensi menjana tambahan pendapatan sebanyak RM42 juta kepada KPF.
“Langkah ini penting bagi memperkukuh sumber pendapatan koperasi secara mampan, di samping meningkatkan keupayaannya untuk menyelesaikan tuntutan penebusan syer anggota,” katanya lagi.
Tambahnya, KUSKOP melalui SKM telah memberikan perhatian terhadap penyelesaian tuntutan penebusan syer anggota yang masih tertunggak.
“Pemantauan secara berterusan dilaksanakan bagi memastikan KPF mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan kedudukan aliran tunai, di samping memberikan keutamaan kepada pembayaran bagi kes-kes kritikal dan mendesak seperti keperluan kesihatan, pendidikan, urusan keagamaan serta kes mahkamah.
“KUSKOP melalui SKM kekal komited untuk memastikan segala langkah pemulihan dan penstrukturan semula KPF dilaksanakan secara berkesan dengan kerjasama FELDA serta pihak berkepentingan.
“Usaha ini selaras dengan sasaran yang ditetapkan oleh Timbalan Perdana Menteri I selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap FELDA supaya proses penstrukturan semula KPF dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya pada akhir tahun 2026 ini, sekaligus membolehkan penyelesaian baki tuntutan penebusan syer anggota dilaksanakan secara teratur dan berperingkat tanpa menjejaskan kedudukan kewangan serta kelangsungan operasi koperasi KPF,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
