Kerajaan Komited Banteras ‘Lorong Tikus’ Sempadan Perlis

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Kerajaan melahirkan komitmen padu dalam memacu operasi bersama untuk membanteras penggunaan laluan tidak rasmi atau ‘lorong tikus’ di sepanjang sempadan Negeri Perlis.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penyelarasan risikan dan operasi bersama di peringkat lapangan sentiasa diperkemas dengan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Kerajaan melahirkan komitmen padu dalam memacu operasi bersama bagi membanteras penggunaan laluan tidak rasmi atau “lorong tikus” di sepanjang sempadan Perlis.

“Penyelarasan risikan dan operasi bersama di peringkat lapangan sentiasa diperkemas dengan melibatkan agensi penguatkuasaan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Soal Jawab Menteri di Parlimen sebentar tadi.

Tambahnya, terdapat beberapa operasi berfokus yang dilaksanakan untuk memaksimumkan impak operasi tersebut.

“Bagi memaksimumkan impak operasi di sempadan Perlis, antara operasi berfokus yang dilaksanakan antaranya Op Sanctuary atau Op Benteng. Ia merupakan operasi risikan taktikal menyasarkan sindiket jenayah terancang yang terlibat dalam pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

“Selain itu, kita juga laksanakan Op Tiris yang merupakan penguatkuasaan bersepadu bagi membendung aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi di sempadan darat.

“Manakala Op Tiris pula merupakan penguatkuasaan bersepadu bagi membendung aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi di sempadan darat. Akhir sekali, Op Taring (PGA) yang memfokuskan rondaan serta penguatkuasaan statik dan dinamik di kawasan panas (hotspot) sempadan darat antarabangsa Perlis-Thailand, seperti di sektor Padang Besar dan Wang Kelian,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa operasi tersebut turut merangkumi aktiviti jenayah lain selain daripada penahanan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Fokus tindakan bersepadu PDRM terhadap penggunaan laluan tidak rasmi bukan sahaja meliputi penahanan PATI, perampasan barang terlarang dan pembanterasan penyeludupan manusia.

“Ia malah turut merangkumi usaha melumpuhkan seluruh ekosistem sindiket, termasuk rantaian tekong, pembiaya, perekrut dan rangkaian kewangan mereka menerusi penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO