Azalina Anggap Belanjawan 2027 Perkukuh Reformasi Institusi, Bela Rakyat
KUALA LUMPUR, 10 Okt – Belanjawan MADANI 2027 memperkukuh komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi undang-undang dan institusi, selain memperluas inisiatif bagi membela kesejahteraan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia mencerminkan kesungguhan kerajaan melaksanakan pembaharuan perundangan secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti undang-undang lapuk dan menangani jurang perundangan.

“Reformasi paling bermakna ialah keberanian kerajaan untuk membatasi kuasanya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam usaha membantu rakyat, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia turut menyambut baik tiga inisiatif memperkukuh Dasar Peluang Kedua susulan kejayaan membantu lebih 250,000 rakyat keluar daripada kebankrapan sejak 2023.
Langkah berkenaan termasuk menaikkan ambang kebankrapan daripada RM100,000 kepada RM150,000 mulai 2027, memperluas Dasar Peluang Kedua Prihatin kepada penjaga utama ahli keluarga OKU, pesakit kronik, warga emas, pekerja gig dan individu berpendapatan tidak tetap.
Kerajaan turut memperkasa pelepasan automatik seawal tiga tahun di bawah Seksyen 33C Akta Insolvensi 1967 bagi individu yang memenuhi syarat.
Azalina berkata, reformasi institusi juga merangkumi usaha memperkukuh hak asasi, perlindungan rakyat dan akses kepada keadilan, selain meneruskan pembaharuan undang-undang serta menghormati proses demokrasi berparlimen.
Beliau turut menyambut baik pemilikan penuh Kompleks Bersepadu Pengerang oleh PETRONAS bagi memperkukuh keterjaminan bekalan bahan api negara.
Pembangunan Pengerang Biorefinery bersama Enilive, Eni dan Euglena bagi menghasilkan bahan api rendah karbon termasuk SAF, HVO dan bio-naphtha juga berpotensi membuka peluang ekonomi serta pekerjaan bernilai tinggi.
“Belanjawan MADANI 2027 membuktikan bahawa reformasi bukan sekadar mengubah undang-undang dan institusi, tetapi membawa manfaat nyata kepada rakyat dan masa depan negara,” katanya. – UMNO Online
