Agenda Malaysia Biru: Momentum Peroleh Semula Mandat Rakyat Pada PRU ke-16

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi berpandangan bahawa Agenda Malaysia Biru yang digagaskan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merupakan momentum untuk memperoleh kembali mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ujarnya, jentera penerangan perlu memahami dan mempelajari mengenai dunia digital agar maklumat dapat disampaikan kepada rakyat dengan sebaik-baiknya.

“Dalam menghadapi cabaran, khususnya PRU… Mahu tidak mahu, selain bersemuka dengan rakyat, dunia digital merupakan satu perkara yang perlu kita fahami dan pelajari. Kita perlu mendekati masyarakat yang mungkin tidak bersama kita dalam program secara bersemuka, tetapi lebih berminat dengan platform digital.

“Presiden telah membawa satu agenda baharu untuk kita kembali menjadi kerajaan selepas PRU, iaitu Agenda Malaysia Biru. Inilah yang ingin kita bawa, lapan dasar yang perlu kita sama-sama perjuangkan.

“Kita perlu menerangkannya bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi juga kepada seluruh masyarakat di negara kita bahawa Agenda Malaysia Biru ini merupakan satu momentum untuk kita mendapatkan kembali mandat rakyat dalam PRU ke-16 nanti.

“Jadi, saya mengharapkan agar kita semua sebagai jentera penerangan dapat memobilisasikan gerak kerja, terutama dalam usaha memenangi hati masyarakat dan mendapatkan kembali mandat mereka untuk menang pada PRU ke-16 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena program Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia peringkat Negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang diadakan di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa isu krisis perlembagaan di Negeri Sembilan perlu ditangani secara berhikmah dan bijaksana.

“Kita perlu bezakan perkara ini kerana dalam Perlembagaan parti, kita menjunjung tinggi institusi istana.

“Kita tidak mahu terjerumus dalam fitnah yang dibawa oleh Pakatan Harapan, terutama dakwaan kononnya kita penderhaka kepada institusi diraja dan adat-istiadat di Negeri Sembilan.

“Sebab itu kita perlu bijaksana dan berhikmah dalam menangani krisis yang berlaku di Negeri Sembilan ini,” katanya lagi.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omar Din; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi; Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain dan ketua-ketua penerangan empat peringkat Selangor dan Negeri Sembilan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO