Agenda Malaysia Biru: Daripada Gagasan Kepada Hasil, Bukan Sekadar Guna Teknologi

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Malaysia Biru perlu diterjemahkan daripada sekadar gagasan dan visi kepada pelan tindakan serta dasar yang mampu menghasilkan keputusan nyata untuk dirasai rakyat.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Sivamurugan Pandian berkata, selepas 69 tahun pembinaan negara, Malaysia tidak lagi boleh bersifat responsif semata-mata, sebaliknya perlu melihat jauh ke hadapan dengan membina masa depan negara secara bersama.

“Bila kita bercakap tentang keyakinan, ia adalah soal keyakinan hari ini, keyakinan hari esok dan juga keyakinan dalam merancang masa depan negara supaya memberikan satu tawaran baharu serta jaminan kepada masyarakat. Inilah tawaran yang mahu dibawa untuk masa depan negara.

“Aspek keutamaan pula perlu mengambil kira kepelbagaian kelompok masyarakat termasuk B40, M40, T20, kumpulan rentan, masyarakat bandar dan luar bandar serta rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Ia tidak boleh sekadar menjadi satu gelombang biru dan perlu berubah daripada gelombang, gagasan atau agenda kepada pelan tindakan ataupun blueprint. Daripada blueprint itu, kita harus mempunyai dasar yang memberikan satu keputusan dan hasil di penghujungnya,” beliau berkata demikian pada ucapan di BN Forum ke-12 di Menara Dato’ Onn, pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta peserta-peserta BN forum.

Sivamurugan menegaskan istilah ‘Biru’ tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai warna atau simbol, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada agenda yang jelas dalam menentukan arah pembangunan negara.

“Biru itu tidak boleh sekadar menjadi satu warna. Ia perlu berubah daripada warna kepada agenda. Soalan utama yang barangkali akan ditanya oleh rakyat ialah, apa tawaran baharu Malaysia Biru kepada rakyat? Apakah jaminannya kepada mereka. Warna itu adalah simbol, tetapi agenda itulah yang menentukan arah,” jelasnya.

Sementara itu bagi pensyarah Jakarta Business School, Tan Sri Nordin Kardi berpandangan, pengalaman Malaysia sepanjang beberapa dekad lalu termasuk aspirasi Wawasan 2020 perlu dijadikan pengajaran dalam membentuk hala tuju ekonomi negara pada masa hadapan.

“Walaupun kita pernah merancang Wawasan 2020 dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, apa yang berlaku ialah kita masih banyak bergantung kepada pelaburan dan teknologi dari luar.

“Malaysia kekal sebagai negara yang berbangga mendabik dada dengan banyaknya pelaburan masuk, tetapi kita adalah negara yang dilabur oleh orang lain untuk menjadi negara pemasang,” katanya lagi.

Seterusnya kata Nordin, pengalaman lalu perlu dijadikan asas untuk memastikan Malaysia pada 2026 dan tahun-tahun mendatang mampu bergerak daripada sekadar menggunakan teknologi yang dibangunkan pihak luar kepada negara yang turut mencipta teknologi, reka bentuk dan inovasi sendiri.

“Pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran dalam membentuk hala tuju negara agar Malaysia tidak lagi hanya menjadi lokasi pemasangan produk dan teknologi yang dibangunkan pihak luar.

“Malaysia perlu membina keupayaan sendiri supaya nilai ekonomi yang terhasil daripada teknologi, reka bentuk dan inovasi itu turut dimiliki serta dicipta oleh rakyat Malaysia,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO