TVET, Latihan Semula Diperkasa Tingkat Kemahiran Tenaga Kerja – Shahar

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kerajaan menyasarkan sumbangan pampasan pekerja (CE) kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencapai 40 peratus menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, sasaran itu selari dengan usaha Kerajaan meningkatkan pendapatan pekerja dan memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata, Ekonomi MADANI pula menyasarkan sumbangan CE kepada KDNK sebanyak 45 peratus menjelang 2033.

“Untuk makluman, sumbangan CE kepada KDNK adalah sebanyak 33.9 peratus pada 2025 berbanding 33.6 peratus pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 0.3 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman  mengenai strategi Kerajaan meningkatkan bahagian pampasan pekerja kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2030, termasuk langkah memastikan peningkatan gaji pekerja selari dengan pertumbuhan produktiviti.

Menurut Mohd Shahar, bagi meningkatkan CE, Kerajaan dalam tempoh RMK13 akan mempercepat transformasi struktur ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi yang dipacu inovasi, pendigitalan, penggunaan teknologi termaju dan aktiviti berintensiti pengetahuan.

Katanya, transformasi berkenaan mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir yang menawarkan gaji lebih tinggi.

“Pelaksanaan hala tuju strategik negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti.

“Pelaburan baharu ini dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan mahir,” katanya.

Beliau berkata, bagi mempersiapkan negara ke arah itu, tumpuan akan diberikan kepada pembangunan bakat masa hadapan melalui pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), peningkatan kemahiran dan latihan semula tenaga kerja serta pengukuhan padanan pekerjaan bagi memenuhi permintaan industri.

Tambah beliau, Kerajaan turut memberi tumpuan untuk melonjakkan industri yang mempunyai pertumbuhan dan nilai yang tinggi (HGHV) serta sektor strategik berimpak tinggi.

“Langkah ini akan mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dan seterusnya mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih dinamik serta mampu meningkatkan penciptaan pekerjaan mahir dengan gaji yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata, penyelarasan gaji secara menyeluruh akan dilaksanakan dalam tempoh RMK13 melalui pemerkasaan peranan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN).

Katanya, peranan MPGN akan merangkumi penyelarasan semua perkara berkaitan gaji, termasuk penetapan gaji permulaan bagi siswazah dan lepasan TVET.

“Semakan semula gaji minimum akan terus dilaksanakan secara berkala sebagaimana ketetapan dalam Akta MPGN 2011 [Akta 732] dan mengambil kira gaji kehidupan wajar bagi memastikan gaji pekerja terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan juga akan meneliti untuk memperluas pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP), khususnya dalam sektor strategik bagi memastikan agenda meningkatkan gaji pekerja selari dengan peningkatan produktiviti terus diperkasa.

Selain itu, katanya, pelaksanaan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS) akan diteruskan bagi memastikan peningkatan gaji pekerja selari dengan pertumbuhan produktiviti.

“Langkah ini akan meningkatkan pendapatan pekerja dan membantu mengagihkan pendapatan dengan lebih saksama,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO