RUU Makanan Perlu Lindungi Pengguna, Peniaga Kecil Secara Adil – Suhaimi
KUALA LUMPUR, 8 Okt — Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh Akta Makanan 1983 menerusi Rang Undang-Undang Makanan (Pindaan) 2026, namun menegaskan penguatkuasaan baharu perlu dilaksanakan secara tegas, telus dan adil.
Beliau berkata perubahan teknologi, rantaian bekalan global serta pola pembelian rakyat ketika ini menuntut undang-undang yang lebih berkesan selain penguatkuasaan yang pantas.
“Kuasa baharu di bawah RUU ini perlu disertai keupayaan pelaksanaan, ketelusan dan perlindungan yang adil kepada pengguna serta peniaga yang mematuhi undang-undang,” katanya ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah penjualan makanan melalui platform e-dagang, khususnya produk yang membuat dakwaan kesihatan tetapi tidak mempunyai maklumat pengilang, pengimport, alamat premis atau label yang mencukupi.
Katanya, kerjasama antara platform e-dagang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), KPDN serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia perlu diperkukuh bagi membolehkan penjual dikenal pasti, data berkaitan diperoleh dan produk berisiko diturunkan dengan segera.
“Protokol tersebut juga perlu menentukan siapa yang bertanggungjawab apabila produk yang berbahaya masih terus dijual selepas aduan atau arahan penguatkuasaan dikeluarkan,” katanya.
Dalam pada itu, Suhaimi turut menyentuh aspek bahan yang bersentuhan dengan makanan, termasuk bekas dan peralatan yang boleh memindahkan unsur berbahaya ke dalam makanan.
Beliau meminta Menteri menjelaskan standard yang akan digunakan, kapasiti makmal untuk menjalankan ujian serta tempoh peralihan bagi membolehkan industri membuat persediaan mematuhi keperluan baharu selain pada masa sama, pelaksanaan perlu dibuat secara berperingkat dengan bantuan teknikal kepada peniaga mikro dan kecil supaya pematuhan tidak menjadi beban yang hanya mampu ditanggung syarikat besar.
Mengenai makanan import, Suhaimi berkata Malaysia masih bergantung kepada import bagi sebahagian bahan makanan dan rantaian berkenaan perlu dikawal tanpa menjejaskan kelancaran perdagangan yang sah.
Beliau berkata sebanyak 196,552 konsainan makanan import direkodkan dari Januari hingga Jun 2026, sekali gus menuntut sistem kawalan yang benar-benar berasaskan risiko.
Katanya, KKM juga perlu memperkukuh penyelarasan dengan JAKIM, pihak berkuasa agama negeri, Kastam dan KPDN supaya aspek keselamatan makanan, pengisytiharan import serta tuntutan halal tidak diperiksa secara berasingan.
Bagi Sabah, beliau turut meminta KKM menjelaskan kapasiti pemeriksaan, pensampelan, makmal serta tempoh keputusan ujian di pintu masuk utama termasuk Sandakan dan Tawau.
“Sistem digital termasuk FoSIM perlu diintegrasikan dengan data Kastam, makmal dan permit import supaya pengisytiharan palsu atau produk berisiko dapat dikesan sebelum sampai kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, Suhaimi menyokong usaha KKM menambah kuasa penguatkuasaan dan meningkatkan kadar penalti kerana kesalahan berkaitan makanan boleh menjejaskan kesihatan awam secara langsung.
Beliau berkata bahan taklimat KKM menunjukkan 21 daripada 849 produk makanan yang dianalisis antara 2019 hingga Ogos 2026 mengandungi racun berjadual, manakala 12 daripada 16 jenama yang dikesan menggunakan alamat palsu atau tidak lengkap.
Bagaimanapun, katanya, kuasa menutup premis dan menyiarkan maklumat produk yang membahayakan kesihatan mesti dilaksanakan berasaskan bukti yang jelas serta boleh diaudit.
Beliau turut meminta kriteria bertulis, tempoh semakan, saluran rayuan dan mekanisme pembetulan diwujudkan sekiranya berlaku kesilapan pengenalpastian atau maklumat yang disiarkan perlu ditarik balik.
Suhaimi turut menegaskan kewajipan program jaminan keselamatan makanan di premis pengilangan perlu disertai latihan, bimbingan dan pelaksanaan secara berfasa supaya tidak menjejaskan kelangsungan perniagaan kecil yang mahu mematuhi undang-undang.
Beliau juga meminta garis panduan dan ambang kuantiti diterbitkan dengan jelas bagi makanan yang diisytiharkan untuk kegunaan sendiri tetapi disyaki untuk tujuan jualan, bagi mengelakkan kuasa pemeriksaan dilaksanakan secara sewenang-wenangnya.
Mengakhiri perbahasan, Suhaimi berkata beliau menyokong RUU Makanan (Pindaan) 2026 kerana rakyat berhak mendapat makanan yang selamat, berkualiti dan boleh dikesan sumbernya.
Namun katanya, penguatkuasaan berkesan bukan hanya bergantung kepada kuasa dan denda, sebaliknya memerlukan data yang baik, makmal mencukupi, agensi yang terselaras serta proses yang adil.
“Semoga pindaan ini memperkukuh keyakinan rakyat, melindungi pengguna dan memastikan peniaga yang patuh tidak kalah kepada pihak yang mengambil jalan singkat dengan mempertaruhkan kesihatan awam,” katanya. – UMNO Online
