PETRA Ambil Tindakan Susulan Teguran Audit – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengambil tindakan susulan terhadap isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2/2026, khususnya berkaitan pelaksanaan projek tebatan banjir dan pemuliharaan pesisir pantai.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kementerian mengambil serius teguran Audit serta memastikan kelemahan yang dikenal pasti ditangani bagi memperkukuh pengurusan projek dan memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Beliau berkata bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, Kelantan, kemajuan fizikal Fasa 1 kini mencapai 73.01 peratus berbanding 75.51 peratus yang dijadualkan.
“Fasa 2 mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 3.16 peratus berbanding 2.62 peratus yang dijadualkan, manakala Fasa 3 mencapai 24.18 peratus berbanding 16.87 peratus yang dijadualkan.
“Kedua-dua fasa mendahului jadual masing-masing dan disasarkan siap dalam tempoh kontrak, iaitu pada 14 Oktober 2028 bagi Fasa 2 dan 24 April 2029 bagi Fasa 3,” katanya ketika menggulung perbahasan LKAN Bilangan 2/2026 di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Abdul Rahman, PETRA turut mengambil maklum peningkatan nilai kontrak projek PLSB Sungai Golok daripada RM198.02 juta kepada RM601.20 juta.
Katanya, peningkatan tersebut antara lain melibatkan penyesuaian skop berdasarkan keperluan teknikal dan keadaan semasa sepanjang pelaksanaan projek, termasuk penaiktarafan Jalan KESBAN mengikut piawaian Jalan Persekutuan, pembinaan struktur alur limpah dan jambatan serta penyelarasan reka bentuk rumah pam.
Bagi memastikan kelemahan yang dibangkitkan Audit ditangani, katanya, satu pasukan taskforce di peringkat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah ditubuhkan bagi memantau kemajuan projek, mengenal pasti isu pelaksanaan serta memastikan teguran dan syor Audit diambil tindakan.
“Bahkan, saya sendiri akan turun melihat sendiri perkembangan dan kemajuan semasa projek ini dan saya mengalu-alukan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk bersama-sama saya dalam lawatan ke tapak projek pada hujung minggu ini,” katanya.
Dalam masa sama, beberapa langkah mitigasi jangka pendek dan sederhana turut dilaksanakan sementara menunggu keseluruhan projek siap, antaranya kerja pengorekan Sungai Lemal-Lanchang, transformasi Danau Tok Uban sebagai kawasan kawalan air hujan dan takungan banjir, pemasangan penghadang banjir mudah alih serta pengorekan muara Sungai Golok.
Mengulas Program Pemuliharaan Pesisir Pantai pula, Abdul Rahman berkata Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus, Terengganu mencatatkan kemajuan fizikal 60.9 peratus setakat 17 September 2026 berbanding 60.7 peratus berdasarkan jadual pelaksanaan yang disemak.
Bagi projek Hakisan Pantai Marang, katanya, notis penamatan pengambilan kerja kontraktor telah dikeluarkan pada 9 Julai 2024 dan pelaksanaan skop projek diteruskan melalui Projek Pengawalan Hakisan Pantai Rusila, Marang, Terengganu.
“Projek ini dijangka bermula pada Mac 2028 dengan tempoh pelaksanaan selama 45 bulan.
“Bagi kelewatan yang berpunca daripada kegagalan kontraktor dan tidak melayakkan pelanjutan masa, tindakan kontrak termasuk pengenaan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) akan diambil mengikut terma kontrak,” katanya.
Abdul Rahman berkata PETRA menghargai teguran dan cadangan Jabatan Audit Negara kerana ia penting dalam memperkukuh tatakelola serta meningkatkan mutu penyampaian kementerian.
“Tanggungjawab kami ialah memastikan setiap ringgit wang awam diurus dengan berhemah, kelemahan yang dikenal pasti diperbetulkan dan pelaksanaan projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara PETRA dengan Ahli-ahli Yang Berhormat akan terus diperkukuh bagi memastikan isu yang dibangkitkan mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya. – UMNO Online
