Pentadbiran Adat, Moden Bergerak Seiring… Tidak Bercampur

KUALA PILAH, 8 Okt – Ibu Soko Raja Balang, Luak Johol, Norsiah Hamzah berpandangan bahawa pentadbiran adat dan moden tidak boleh bercampur namun bergerak seiring.

Ini kerana katanya, hak setiap peranan dalam dalam perbilangan Adat Perpatih iaitu ‘bulat anak buah melantik Buapak, bulat Buapak melantik Lembaga, bulat Lembaga melantik Undang ataupun penghulu, bulat Undang melantik Raja’ tidak boleh disentuh oleh pihak lain termasuklah orang politik.

“Itu yang saya cakap ‘lebih sudu daripada kuah’. Mereka (orang luar Negeri Sembilan) tidak tahu cerita sebenar. Jadi, tidak bolehlah mereka memberi komen sesuka hati. Tak boleh usik sebenarnya. Orang yang dalam Adat Perpatih ini pun tidak sesuka hati mengusik hak luak (kawasan) lain.

“Campur tangan orang politik juga tidak sepatutnya berlaku sebab pentadbiran moden dan adat tidak boleh bercampur-aduk. Kita sebenarnya seiring sebab Negeri Sembilan mempunyai pentadbiran adatnya sendiri iaitu Adat Perpatih,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, Ibu Soko mempunyai peranan yang amat penting dalam sistem Adat Perpatih kerana mereka berkuasa untuk melantik dan menurunkan Buapak serta Lembaga.

“Peranan Ibu Soko dalam sistem Adat Perpatih ini penting. Kalau di Luak Johol, kami tidak mengangkat diri kami sendiri. Kami memulakan permuafakatan dalam suku kami itu sendiri. Macam saya daripada suku Raja Balang.

“Kami akan kumpulkan siapa yang boleh jadi Ibu Soko, Buapak dan Lembaga. Kelebihan Ibu Soko ini ialah kami boleh melantik Buapak dan Lembaga. Kami juga boleh menurunkan Buapak dan Lembaga sekiranya mereka melanggar undang-undang adat.

“Pemilihan Ibu Soko itu pula mengikut ‘kebersihan’ merangkumi keterampilan dan salasilah keluarga seseorang itu. Ibu Soko juga mempunyai peranan dalam nikah dan kahwin anak-anak buah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan harapan agar krisis perlembagaan yang berlaku di Negeri Sembilan dapat diselesaikan mengikut lunas Adat Perpatih tanpa campur tangan mana-mana pihak luar.

“Saya berharap agar krisis di Negeri Sembilan ini dapat diselesaikan secara baik… buatlah macam biasa balik seperti mula-mula dulu. Kita ini ibarat mentimun. Mereka (pihak atasan) ibarat durian.

“Tetapi alhamdulilah setakat hari ini, Negeri Sembilan dan rakyat jelata masih menjalankan hidup seperti biasa. Kami tidak bergaduh. Sesiapa yang dipilih menjadi raja, itulah raja kita.

“Kalau kita tidak taat setia kepada pemerintah, apa gunanya pemerintah? Kita ini hidup dengan peraturan dan ia penting. Apa yang lebih penting ialah dengan siapa kita bergaul dalam kehidupan seharian.

“Akhir kata, saya berharap semua isu berkaitan krisis perlembagaan ini dapat diselesaikan agar kita menjadi contoh dan tauladan kepada generasi akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Besar Waris Suku Seri Lemak Minangkabau, Luar Ulu Muar, Mohamad Nazmi Mohd Zaini berpandangan bahawa campur tangan kerajaan pusat ke atas sistem Adat Perpatih akan mengkhianati semangat federalism.

“Apabila melibatkan kerajaan pusat, ia menjadi satu perkara lain yang pada pandangan saya akan mengkhianati semangat federalisme. Kita pun tahu negara kita menggunakan sistem federalisme. Semua ini terjamin dan termaktub di dalam perlembagaan.

“Sekarang ini apa yang berlaku ialah institusi diraja terutamanya di Negeri Sembilan yang mengamalkan sistem Adat Perpatih. Jadi, apabila dua perkara yang dikatakan sebagai contoh Kuala Pilah dan Seremban, berbeza. Begitu juga adat dengan federalism ini lain. Tidak boleh disamakan.

“Apabila kerajaan pusat cuba masuk campur… perkara ini jika dibiarkan berlarutan, ia akan mengganggu sistem beraja yang berjalan di negeri-negeri lain juga,” katanya.

Krisis adat di Negeri Sembilan secara rasminya telah tercetus pada 17 April 2026 apabila Dewan Keadilan Undang (DKU) yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, mengadakan sidang khas dan mengesahkan pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong atas 33 alasan pelanggaran adat.

Krisis tersebut berlarutan apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertindak untuk tidak menandatangani proklamasi penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir atas arahan Undang Yang Empat.

Lebih memburukkan keadaan apabila pemimpin politik luar dari Negeri Sembilan mula campur tangan antaranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan cubaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan exco menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun.

Beliau menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO