KPT Sasarkan 80 Peratus Kursus Ijazah Sarjana Muda Integrasi Elemen AI
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus kursus bagi program sarjana muda di Universiti Awam diintegrasikan dengan elemen Kecerdasan Buatan (AI) menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelajar dan graduan memiliki kompetensi AI yang relevan dengan perkembangan teknologi serta keperluan industri.
“AI tidak boleh dilihat hanya sebagai bidang pengkhususan. Melalui RPTM 2026-2035, KPT mensasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus kursus bagi program sarjana muda di Universiti Awam diintegrasikan dengan elemen AI,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahlu Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakanapakah langkah KPT memastikan graduan memiliki kemahiran AI bagi menghadapi perubahan pasaran pekerjaan serta sasaran memperluas program AI dan peningkatan kemahiran di universiti.
Zambry yang juga Ahli Parlimen Lumut seterusnya menambah program pengajian sentiasa dipastikan responsif terhadap perubahan teknologi dan pasaran pekerjaan.
Katanya, program di Universiti Awam dinilai secara berkala melalui Jawatankuasa Semakan Kurikulum, termasuk bagi penilaian program baharu dan pembaharuan tempoh program.
“Sehingga 30 September 2026, sebanyak 455 program pengajian di peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah atau PhD telah melalui proses semakan bagi tahun 2026.
“Semakan ini mengambil kira perkembangan teknologi, perubahan landskap industri serta keperluan tenaga kerja semasa,” katanya.
Menurut beliau, bagi program khusus AI pula, pembangunan dan akreditasi program diperkukuh menerusi Standard Program Kecerdasan Buatan yang dibangunkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Langkah itu, katanya, bagi memastikan program AI dibangunkan secara sistematik dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Zambry berkata ketika ini terdapat 11 Universiti Awam yang menawarkan program berkaitan AI di pelbagai peringkat pengajian.
“Melalui 30 program di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan PhD, KPT menjangkakan seramai 30,000 graduan akan dihasilkan bagi tempoh 2025 hingga 2030,” katanya.
Beliau berkata KPT turut memperkukuh pembangunan bakat khusus AI melalui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta Fakulti Komputeran Cerdas (FKC) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Tambah beliau, akses kepada pendidikan berkaitan AI kini turut diperluas secara menyeluruh apabila semua program akademik peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Awam menyediakan kursus berkaitan AI untuk diikuti pelajar.
“Lebih penting, berdasarkan pelaksanaan semasa, akses kepada pendidikan berkaitan AI telah diperluas secara menyeluruh, dengan semua program akademik peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Awam menyediakan kursus berkaitan AI untuk diikuti oleh pelajar,” katanya.- UMNO Online
