Koperasi Teroka Bidang Baharu, Perluas Kerjasama – Mohamad Alamin
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Koperasi perlu berani meneroka bidang perniagaan baharu serta memperluas portfolio menerusi kerjasama strategik dengan pemain industri bagi memastikan sektor tersebut terus berdaya tahan dan mampan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata, koperasi perlu berani meneroka bidang baharu melalui kerjasama dengan pihak yang mempunyai kepakaran khusus sebelum menggabungkannya dengan kekuatan jaringan dan keanggotaan koperasi bagi menghasilkan produk serta perkhidmatan yang lebih relevan kepada pasaran.
Katanya, kekuatan gerakan koperasi bukan sahaja terletak pada skala ekonomi dan jumlah anggota yang besar tetapi perlu diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang lebih inovatif serta mampu memberikan nilai tambah kepada rakyat.
“Berdasarkan statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi tahun 2025, terdapat 16,468 koperasi dengan lebih 7.33 juta anggota di seluruh negara, manakala aset gerakan koperasi mencecah RM186.75 bilion dengan perolehan sebanyak RM81.62 bilion.
“Angka tersebut menunjukkan bahawa gerakan koperasi mempunyai skala ekonomi yang besar serta jaringan keanggotaan yang luas dan kekuatan tersebut perlu terus diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi yang lebih kreatif dan proaktif serta mampu memenuhi keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara MyANGKASA Holdings Sdn Bhd (MHSB) dan OPTIMAX Eye Specialist Centre Sdn Bhd (OPTIMAX Holdings Berhad) di Hyatt Place, Bukit Jalil semalam.
Turut hadir Presiden ANGKASA merangkap Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah; Lembaga Pengarah MHSB Datuk Che Mohd Shukree Che Isa; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Pengerusi Optimax, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan peserta-peserta.
Mohamad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan, kerjasama antara MHSB dan OPTIMAX memperlihatkan bagaimana kekuatan jaringan koperasi boleh digabungkan dengan kepakaran industri untuk mewujudkan peluang baharu dalam sektor perkhidmatan kesihatan.
“Penglibatan ANGKASA menerusi MHSB dalam bidang penjagaan kesihatan mata bersama penyedia perkhidmatan yang mempunyai kepakaran khusus menunjukkan kesediaan gerakan koperasi meneroka bidang yang mempunyai potensi ekonomi selain memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan anggota.
“Pemilihan bidang penjagaan kesihatan mata amat relevan kerana penglihatan merupakan sebahagian penting daripada kualiti hidup seseorang serta berkait rapat dengan keupayaan untuk bekerja, belajar dan menjalani kehidupan seharian.
“Justeru, usaha memperluas akses kepada perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut perniagaan tetapi turut menyentuh aspek kesejahteraan anggota dan masyarakat,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kimanis menambah, kerjasama seumpama itu turut selari dengan pendekatan “Whole of Nation” dalam agenda kesihatan negara yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, organisasi masyarakat dan institusi lain.
“Apabila kekuatan ini digabungkan melalui kerjasama yang terancang maka lebih banyak ruang dapat diwujudkan untuk menyokong kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – UMNO Online
