Ambil Pengajaran, Jangan Jadikan Tragedi Irene Sofiya Spekulasi

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Jabhah Ilmuwan Muda Malaysia (JABHAH) menyeru masyarakat supaya tidak menjadikan tragedi kematian Allahyarhamah Irene Sofiya sebagai bahan spekulasi atau kandungan media sosial, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional.

JABHAH dalam kenyataannya merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh keluarga Allahyarhamah serta menyifatkan kehilangan berkenaan sebagai satu tragedi yang amat berat buat keluarga dan menyentuh hati seluruh masyarakat.

Menurut JABHAH, selagi siasatan masih berjalan, sebarang andaian berkaitan motif, latar belakang atau keadaan yang membawa kepada kejadian tersebut perlu dielakkan.

“Keadilan harus ditegakkan berasaskan fakta dan undang-undang, bukan spekulasi di media sosial,” menurut kenyataan itu.

JABHAH turut memandang serius penyebaran pelbagai dakwaan dan naratif yang belum disahkan berkaitan tragedi berkenaan, termasuk gambar, tangkap layar, cerita peribadi dan andaian mengenai individu yang terlibat.

Katanya, perkara tersebut tidak wajar disebarkan hanya untuk memenuhi rasa ingin tahu masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan remaja bawah umur dan sebuah keluarga yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.

Dalam pada itu, JABHAH menegaskan Islam memberikan kedudukan yang tinggi terhadap maruah dan nyawa manusia, selain menekankan prinsip hifz al-nafs atau pemeliharaan nyawa sebagai antara tujuan utama syariah.

“Justeru, keselamatan dan perlindungan anak-anak mesti menjadi tanggungjawab bersama keluarga, institusi pendidikan dan masyarakat,” katanya.

JABHAH berkata tragedi berkenaan, tanpa mendahului hasil siasatan atau meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak, wajar menjadi pencetus kepada penilaian menyeluruh terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan.

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk mekanisme pemantauan pelajar, keselamatan selepas waktu persekolahan, kawasan yang kurang pengawasan, prosedur apabila keberadaan pelajar tidak dapat dikenal pasti serta saluran melaporkan ancaman dan tingkah laku berisiko.

Selain keselamatan fizikal, JABHAH berpandangan aspek kesejahteraan emosi dan psikososial pelajar juga perlu diperkukuh.

Katanya, pendidikan berkaitan pengurusan emosi, penyelesaian konflik, adab pergaulan, sempadan peribadi serta cara menghadapi tekanan, kekecewaan dan penolakan perlu diberikan perhatian yang lebih serius.

“Pendidikan agama dan akhlak juga harus bergerak seiring dengan sokongan psikososial supaya generasi muda mempunyai panduan ketika berhadapan dengan emosi dan konflik,” katanya.

JABHAH turut menyeru guru, kaunselor, pentadbir sekolah dan ibu bapa supaya diperkasakan untuk mengenal pasti tanda awal tingkah laku berisiko seperti ancaman, ugutan, gangguan, obsesi melampau, pencerobohan sempadan peribadi dan kecenderungan agresif.

Menurutnya, intervensi awal amat penting bagi memastikan sesuatu keadaan tidak dibiarkan berkembang sehingga membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

JABHAH turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadikan tragedi berkenaan sekadar bahan perdebatan atau kandungan media sosial.

“Kita mungkin belum mengetahui sepenuhnya apa yang berlaku kepada Allahyarhamah Irene Sofiya dan sewajarnya tidak mendahului siasatan.
“Namun, satu perkara yang tidak memerlukan kita menunggu hasil siasatan ialah tanggungjawab bersama untuk memastikan sekolah, keluarga dan masyarakat menjadi ruang yang lebih selamat buat anak-anak kita,” katanya.

JABHAH berharap keluarga Allahyarhamah dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut serta mendoakan agar kebenaran dapat dikenal pasti melalui proses siasatan yang adil.

Menurutnya, tragedi itu juga wajar menjadi titik muhasabah dan pemangkin kepada usaha memperkukuh perlindungan terhadap anak-anak serta keselamatan institusi pendidikan negara. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO