Wan Rosdy Tekankan Peranan Pemimpin Masyarakat Perkasa Aspirasi Pahang 1st

BENTONG, 7 Okt – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan peranan pemimpin masyarakat amat penting dalam memastikan usaha dan pembangunan Kerajaan Negeri dapat disampaikan dengan berkesan sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas merasmikan Kem Mobilisasi Khas Pahang 1st Pemimpin Masyarakat Pahang di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, di sini, semalam.

Menurut Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO, penganjuran kem berkenaan menjadi platform penting untuk pemimpin masyarakat duduk bersama, bertukar pandangan serta memperkemas gerak kerja dalam usaha memenuhi keperluan rakyat.

“Bagi saya, kem ini penting untuk kita duduk bersama, bertukar pandangan dan memperkemas gerak kerja. Pemimpin masyarakat mempunyai peranan strategik kerana mereka berada paling dekat dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin masyarakat turut berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat, khususnya dalam menyampaikan maklumat, memahami keperluan setempat serta membantu mencari penyelesaian terhadap isu yang timbul di peringkat komuniti.

Katanya, kerjasama erat antara kerajaan dan pemimpin masyarakat amat diperlukan bagi memastikan setiap perancangan serta agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Insya-Allah, dengan kerjasama semua, kita pastikan usaha dan pembangunan Kerajaan Negeri benar-benar sampai kepada rakyat di akar umbi selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.

Wan Rosdy berkata, pendekatan yang mengutamakan suara dan keperluan rakyat itu penting bagi memastikan pembangunan negeri terus berada pada landasan yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh hubungan dengan pemimpin masyarakat sebagai antara elemen penting dalam memastikan agenda pembangunan Pahang dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan di peringkat akar umbi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO