RM33 Juta Diperuntuk Baiki Jalan Persekutuan Kelantan

KUALA LUMPUR, 7 Okt –  Sebanyak RM33 juta diperuntukkan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan Jalan Persekutuan di Kelantan menerusi Program Memperkasa Kontraktor Kelas G1 hingga G4.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM157.15 juta yang disediakan bagi Zon Tengah Timur melibatkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Screenshot

Menurut beliau, peruntukan RM33 juta bagi Kelantan merangkumi tujuh kerja penyenggaraan berkala pavemen bernilai RM9.80 juta serta 84 kerja penyenggaraan berkala bukan pavemen bernilai RM23.20 juta.

“Setakat ini, sebanyak 85 kerja telah siap sepenuhnya manakala enam kerja lagi masih dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada November ini.

“Secara keseluruhannya, program ini telah memberi manfaat secara langsung kepada 91 kontraktor Kelas G1 hingga G4 di Negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat berhubung pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di Kelantan.

Ahmad berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) bertanggungjawab menyenggara 1,250.879 kilometer Jalan Persekutuan di Kelantan yang merangkumi Jalan Protokol sepanjang 36.9 kilometer, Jalan Utama (861.076 kilometer) dan Jalan Sekunder (352.903 kilometer).

Katanya, jalan-jalan berkenaan disenggara oleh syarikat konsesi penyenggaraan Jalan Persekutuan yang telah dilantik.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga September 2026, KKR telah memperuntukkan RM784.6 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan di Zon Tengah Timur yang melibatkan 1,178 kerja di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Bagi Kelantan pula, berdasarkan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) 2026 yang disediakan JKR, sebanyak RM606.49 juta diperlukan bagi melaksanakan 859 kerja penyenggaraan merangkumi penyenggaraan berkala pavemen, bukan pavemen, jambatan serta lampu jalan dan lampu isyarat.

“Sehubungan itu, Kementerian ini telah memperuntukkan RM79.32 juta di bawah program penyenggaraan berkala pavemen melibatkan 53 kerja, RM41.74 juta bagi penyenggaraan berkala bukan pavemen melibatkan 123 kerja, RM1.73 juta bagi penyenggaraan kecil jambatan melibatkan lima kerja serta RM4.07 juta bagi penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat melibatkan 36 kerja,” katanya.

Menurut Ahmad, sebanyak 158 kerja telah disiapkan sepenuhnya setakat September 2026, manakala baki 66 kerja dijangka siap sepenuhnya pada November ini.

Beliau menegaskan KKR menerusi JKR akan terus memastikan Jalan Persekutuan disenggara dalam keadaan selamat dan selesa demi kepentingan pengguna jalan raya.

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO