Agenda Malaysia Biru: Anjakan Baharu Hadapi Masa Depan
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Agenda Malaysia Biru bukan sekadar satu visi, sebaliknya menuntut anjakan dalam cara negara berfikir, bekerja serta mengukur kejayaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, anjakan tersebut perlu dimulakan sekarang bagi memastikan Malaysia mempunyai keupayaan mendepani perubahan dan cabaran yang bakal berlaku.
“Agenda Malaysia Biru ialah visi negara yang menuntut satu anjakan cara kita berfikir, bekerja dan mengukur kejayaan dan anjakan ini mesti bermula sekarang.
“Kita tidak mampu meramal segala-galanya, tetapi kita mesti membaca perubahan dan membina keupayaan lebih awal. Malaysia mesti bersedia untuk masa depan sebelum masa depan itu tiba.
“Visi Agenda Malaysia Biru ini untuk dicabar, diperkukuh dan digerakkan ke hadapan. Malaysia Biru mesti menjadi lebih daripada sekadar visi yang kita kongsi bersama. Ia mesti menjadi masa depan yang kita bina bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan di BN Forum ke-12 di Menara Dato’ Onn, sebentar tadi.
Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta peserta-peserta BN forum.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menjelaskan, Malaysia telah membuktikan keupayaannya menghasilkan pelbagai barangan untuk pasaran dunia, namun langkah seterusnya adalah memastikan lebih banyak nilai ekonomi daripada hasil kebijaksanaan rakyat dapat dikekalkan dalam negara.
“Malaysia mesti bergerak daripada
menggunakan nilai kepada mencipta nilai. Kita telah membuktikan kemampuan menghasilkan barangan untuk pasaran dunia. Langkah seterusnya ialah memastikan teknologi, reka bentuk, jenama dan harta intelek turut dibangunkan oleh rakyat Malaysia.
“Untuk itu, pendidikan, penyelidikan dan industri mesti saling melengkapi. Bakat yang dilatih mesti mampumenghasilkan inovasi, dan inovasi itu mesti mendapat sokongan untuk menjadi produk serta perusahaan yang berjaya. Dengan rantaian ini, lebih banyak nilai daripada hasil kebijaksanaan rakyat kita dapat dikekalkan dalam negara.
“Jika anjakan ini kita mulakan sekarang,
Malaysia mampu menjadi Negara pencipta yang meraih pulangan besar daripada inovasinya sendiri. Sebab itulah saya katakan kita mesti move daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Created, Owned and Trusted by
Malaysia’,” katanya lagi.
Kata Ahli Parlimen Bagan Datuk lagi, kemakmuran negara tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pendapatan yang diterima rakyat, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan mereka memiliki aset dan membina kekayaan untuk jangka panjang.
“Saya mahu melalui Agenda Malaysia Biru nanti, lebih ramai keluarga mempunyai asas kewangan yang kukuh dan sesuatu untuk diwariskan kepada anak-anak. Kemakmuran mesti diukur bukan sahaja melalui berapa banyak yang rakyat peroleh, tetapi juga berapa banyak yang mampu mereka miliki.
“Negara mesti bergerak daripada bertindak selepas krisis kepada melindungi kehidupan sebelum krisis. Kemakmuran yang dibina bertahun-tahun boleh terhakis apabila bencana melanda, bekalan makanan
terganggu atau ahli keluarga jatuh sakit. Sebab itu, kemajuan mesti disertai keupayaan menghadapi sebarang kejutan. Baik economic shocks, climate shocks or external shocks,” jelasnya.
Dalam pada itu kewibawaan Malaysia mesti berwibawa di dalam dan berpengaruh diluar dan dalam negara, kewibawaan dibina melalui undang-undang yang adil, institusi yang diyakini dan kepimpinan yang menunaikan amanah.
“Kepercayaan rakyat menjadi kekuatan kita di pentas dunia. Jadi melalui Agenda Malaysia Biru ini, kita mahu suara Malaysia semakin dihormati dan pengaruhnya semakin
bermakna.
“Pengaruh mesti membawa manfaat kepada rakyat dan memperkukuh keupayaan negara menentukan masa depannya sendiri,” ujarnya. – UMNO Online
