Tiga Dekad Berlalu, Akta Sukan Perlu Diperkasa – Naim Moktar
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar menyokong pindaan kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 atau Akta 576 tetapi terdapat beberapa pindaan yang dicadangkan mempunyai kepentingan yang besar.
Menurut beliau, selepas hampir tiga dekad berkuatkuasa, sudah tentu kerangka perundangan ini perlu diperkemas agar selari dengan perkembangan dan cabaran ekosistem sukan hari ini.
“Pengukuhan tadbir urus badan sukan, seksyen baharu 19A hingga 19C antara lain memperjelas kedudukan harta badan sukan yang dibatalkan, memberikan kuasa kepada Pesuruhjaya Sukan untuk mengarahkan pindaan perlembagaan badan sukan, dan mensyaratkan perubahan tertentu seperti nama, tempat urusan serta kaedah-kaedah badan sukan mendapat kelulusan Pesuruhjaya.
“Menyambut baik penyelesaian terhadap isu harta, hutang dan liabiliti badan sukan yang dibatalkan. Seksyen 25A hingga 25C menyediakan mekanisme yang lebih jelas termasuk pengurusan harta melalui Ketua Pengarah Insolvensi serta pemindahan harta, hutang dan liabiliti kepada badan sukan baharu.
“Pindaan ini juga memperkenalkan Bahagian VIA (6A) mengenai penguatkuasaan dan penyiasatan, termasuk kuasa pemeriksaan, waran geledah, penyitaan dan penzahiran dokumen,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang (RUU) Pembangunan Sukan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Bendahari Pemuda UMNO Malaysia itu berkata, Sabah bukan kekurangan bakat, masalahnya ialah akses kepada peluang.
“Jarak antara daerah yang jauh, kos membawa atlet ke kejohanan yang tinggi dan kemudahan berkualiti banyak tertumpu di pusat bandar. Sekolah luar bandar pula berhadapan kekurangan jurulatih bertauliah, peralatan dan pertandingan kompetitif secara berterusan.
“KBS bersama KPM harus membangunkan Model Kluster Sukan Luar Bandar. Beberapa sekolah dalam satu kawasan boleh berkongsi jurulatih, fasiliti, peralatan dan pertandingan. Pada masa sama, kerajaan perlu mengenal pasti kebitaraan sukan setiap sekolah atau daerah.
“Tidak perlu semua sekolah cuba membangunkan semua jenis sukan. Kalau sesuatu kawasan mempunyai kekuatan olahraga, fokuskan olahraga. Kalau mempunyai tradisi karate, ragbi, angkat berat atau bola sepak, bina ekosistem tersebut secara tersusun,” jelasnya.
Tambah Naim lagi, Sektor korporat juga boleh memainkan peranan, tetapi perlu bergerak daripada CSR berbentuk sumbangan kepada CSR berbentuk pembangunan.
“Jangan sekadar beri bola, jersi atau cek sekali setahun. Program “Satu Syarikat, Satu Kluster Sukan Luar Bandar” dengan komitmen tiga hingga lima tahun merangkumi jurulatih, peralatan, penyelenggaraan kemudahan, sains pendedahan pertandingan diwujudkan,” ujarnya.
Tegas beliau, CSR mesti menjadi pelengkap dan bukannya sekadar pengganti tetapi kerajaan harus bertanggungjawab. – UMNO Online
