Pendaftaran e-Konsular Belum Diwajibkan Untuk Rakyat Malaysia Di Luar Negara
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Kerajaan belum berhasrat mewajibkan pendaftaran sistem e-Konsular kepada rakyat Malaysia di luar negara buat masa ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, pendaftaran menerusi platform digital kelolaan Kementerian Luar itu masih bersifat sukarela, namun rakyat Malaysia yang menetap, melancong atau belajar di luar negara amat digalakkan untuk mendaftar bagi memudahkan urusan pemantauan dan kebajikan mereka.

“Belum sampai lagi, kita belum pertimbangkan untuk memohon kerajaan menjadikannya mandatori, tetapi kita berharap pelancong dan rakyat Malaysia di luar negara menggunakan kemudahan ini.
“Aplikasi e-Konsular memudahkan pihak kedutaan dan pejabat perwakilan negara untuk mengetahui keberadaan rakyat kita, membolehkan kita berhubung sekiranya berlaku sebarang krisis, bencana alam atau kecemasan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.
Mohamad menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang ingin tahu jika kerajaan bercadang mewajibkan pendaftaran sistem e-Konsular.
Terdahulu, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) bertanya tentang langkah kerajaan memperketat sistem pendaftaran rakyat Malaysia yang melancong atau berada di luar negara bagi memastikan mereka dapat dikesan dan dibantu dengan segera semasa tragedi, bencana atau kecemasan.
Mengenai aplikasi keselamatan MyWorldAlert yang kini digabungkan dengan e-Konsular, Mohamad berkata, ia berfungsi sebagai sistem komunikasi pantas berasaskan sistem kedudukan sejagat (GPS) yang berupaya menyalurkan maklumat dan amaran penting serta-merta semasa situasi mendesak.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Sh Mohmed Puzi mengenai bantuan membawa pulang rakyat yang terkandas di luar negara, beliau berkata, kementerian menyediakan bantuan konsular dari segi perhubungan keluarga serta memudah cara proses atau kutipan dana.
“Pelbagai bantuan kita sediakan tapi kita tidaklah sehingga menanggung bebanan kewangan sepenuhnya. Kes seperti jemaah terkandas di Jeddah dan Madinah akibat ditipu ejen tidak sah yang hanya membeli tiket pergi tanpa tiket pulang tetap kita bantu,” katanya.
Berhubung perkembangan tragedi banjir di Nepal yang berlaku pada 26 Ogos, Mohamad berkata sebanyak 54 rakyat Malaysia masih dalam kategori belum dapat dikesan atau hilang.
“Walaupun Kerajaan Nepal telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR), dan beralih ke fasa pemulihan, pihak kita tidak berputus asa dan masih berhubung dengan polis tempatan bagi menyemak buku pendaftaran di setiap pos laluan pendakian,” katanya.
Beliau berkata, Wisma Putra dan pelbagai agensi termasuk Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara sedang memudah cara urusan waris, terutamanya membabitkan permohonan pelepasan sijil kematian dengan kementerian berkaitan di Nepal. – BERNAMA
