Jati Diri Melayu, Kekuatan Islam Teras Kelangsungan Negara

SHAH ALAM, 5 Okt – Pendidikan negara perlu terus diperkasakan menerusi inovasi kurikulum yang memenuhi tuntutan semasa dan keperluan industri, namun usaha melahirkan generasi berilmu tidak boleh sesekali mengorbankan jati diri, nilai keislaman serta identiti Melayu.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, apa juga bidang yang diceburi oleh anak bangsa, kekuatan jati diri, keteguhan nilai Islam dan jiwa Melayu mesti terus menjadi asas pembentukan generasi masa hadapan.

Menurutnya, keseimbangan antara kecemerlangan ilmu, kemahiran dan pegangan nilai merupakan kunci penting untuk memastikan negara bangsa terus dimartabatkan, sekali gus menjamin kestabilan serta keharmonian Malaysia.

“Jangan kita hanya menumpukan kepada ilmu dan kemahiran semata-mata sehingga terlupa bahawa jati diri mesti kuat, nilai keislaman mesti kental dan jiwa Melayu mesti teguh.

“Insya Allah, negara bangsa ini akan terus dapat kita martabatkan. Malaysia akan terus stabil dan aman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan di Semarak Patriotisme: Seminar Ilmuwan Islam di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM, Shah Alam, semalam.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Yayasan Ilmuwan Islam Malaysia, Datuk Dusuki Ahmad; Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Naib Canselor UiTM Datuk Ts Dr Shahrin Sahib; Timbalan Naib Canselor Prof Dr Mohd Sazli Sahibi serta peserta-peserta seminar.

Mengulas lanjut beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, menegaskan kepentingan mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak, di samping kepentingan sah kaum-kaum lain.

“Peruntukan berkenaan bukan diwujudkan tanpa sebab, sebaliknya lahir daripada keperluan menangani ketidakseimbangan sosioekonomi yang diwarisi akibat dasar penjajahan British.

“’Divide and rule’ atau dasar pecah dan perintah sentiasa menjadi pendekatan pihak yang mahu mengekalkan kuasa, khususnya penjajah.

“Apabila negara mencapai kemerdekaan, kita berdepan ketidakseimbangan yang begitu besar antara kaum akibat faktor sejarah. Jika keadaan ini dibiarkan, ia boleh menjadi barah yang merosakkan usaha membangunkan dan mengangkat negara bangsa,” katanya lagi.

Seterusnya kata Asyraf lagi, perjuangan memartabatkan Islam, mempertahankan kedudukan Melayu serta memperkukuh pendidikan dan ekonomi Bumiputera bukanlah usaha yang terpisah, sebaliknya saling melengkapi dalam membina sebuah negara bangsa yang stabil, adil dan berdaya maju.

“Matlamat akhirnya adalah memastikan anak bangsa tidak terus tercicir, mempunyai kekuatan ilmu, jati diri yang utuh dan keupayaan untuk bersaing, tanpa mengabaikan asas Perlembagaan yang menjadi tunjang kepada pembinaan negara,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO