PRN Melaka: Jentera BN Asahan Terus Diperkasa, Rapatkan Saf

ALOR GAJAH, 2 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan meneruskan siri turun padang bertemu jentera Barisan Nasional (BN) di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta menyelaras gerak kerja di peringkat akar umbi.

Ujarnya, pertemuan secara bersemuka bersama jentera bukan sekadar medan mengeratkan hubungan, malah dimanfaatkan untuk berkongsi pandangan, mengenal pasti keperluan di lapangan serta memperkemas gerak kerja setiap PDM.

Fairul Nizam berkata, kekuatan jentera bergantung kepada kesatuan dan kesungguhan seluruh anggota untuk bergerak secara tersusun, khususnya dalam memastikan suara rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Kita bukan bergerak seorang, kita bergerak sebagai satu pasukan. Sebab itu saf perlu dirapatkan, barisan perlu dikukuhkan dan gerak kerja mesti diperkasa dari akar umbi.”

Beliau turut menyeru jentera BN supaya terus turun ke lapangan, mendekati masyarakat dan mendengar sendiri isu serta pandangan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Katanya, kehadiran jentera di setiap PDM perlu diterjemahkan melalui kerja yang konsisten, hubungan yang dekat dengan masyarakat serta kesediaan untuk melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

“Jangan ada yang mengalah dan jangan ada yang berundur. Terus bekerja, terus dekati rakyat dan pastikan setiap gerak kerja kita memberi makna kepada masyarakat.”

Antara PDM yang dikunjungi ialah Jus, Bukit Senggeh, Pekan Nyalas, Pondok Batang, FELDA Bukit Senggeh, Pekan Asahan dan Ladang Bukit Asahan.

Siri lawatan tersebut turut memberi ruang kepada Fairul Nizam untuk mendapatkan gambaran secara langsung mengenai perkembangan jentera di setiap PDM selain memperkukuh koordinasi antara anggota di peringkat setempat.

Beliau berharap semangat kebersamaan yang ditunjukkan jentera BN di DUN Asahan dapat terus dipertahankan dan diterjemahkan melalui gerak kerja yang lebih tersusun, dekat dengan rakyat serta berterusan.

“Satu hati, satu tekad, satu pasukan. Itulah kekuatan kita untuk terus bergerak bersama demi rakyat.”

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu, selepas Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16

Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi, dengan UMNO memenangi 18, MCA dua dan MIC satu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO