Jentera UMNO Mesti Bergerak Disiplin, Tersusun Hadapi PRN Melaka

MASJID TANAH, 30 Sept – Jentera UMNO di peringkat akar umbi perlu bergerak dengan disiplin, tersusun dan penuh semangat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu antara penekanan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO Bahagian Masjid Tanah yang dipengerusikannya malam tadi bersama barisan kepimpinan bahagian berkenaan.


Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian terbabit, gerak kerja parti perlu diperkemas dengan penyelarasan yang lebih baik, selain memastikan seluruh jentera terus memberikan tumpuan kepada rakyat.

“Sekarang bukan masa untuk leka. Ini masa untuk kita rapatkan saf, satukan langkah dan gandakan usaha.

“Setiap jentera mesti bergerak dengan disiplin, tersusun dan penuh semangat, dengan rakyat terus menjadi fokus utama perjuangan.”

Ab Rauf turut menegaskan bahawa kesatuan, kekuatan jentera dan kerja keras seluruh keluarga UMNO menjadi asas dalam menghadapi medan PRN Melaka.

“Insya-Allah, dengan kesatuan, kekuatan jentera dan kerja kuat seluruh keluarga UMNO, kita hadapi medan ini dengan keyakinan, dan penuh semangat juang. Terus berkhidmat untuk rakyat.”

Turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Sulaiman Md Ali; Naib Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Hameed Basheer; Ketua Penyelaras Operasi Pilihan Raya Parlimen Masjid Tanah, Datuk Ibrahim Durum serta barisan kepimpinan UMNO Bahagian Masjid Tanah.

DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa pada 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.

Ia mempunyai 28 kerusi dengan mandat kerajaan negeri ketika ini akan berakhir pada 31 Disember depan sekiranya tidak dibubarkan lebih awal

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober ini bagi membincangkan urusan PRN Melaka ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO