HAWA Zahir Ucapan Takziah Atas Pemergian Tun Siti Hasmah

MASJID TANAH, 28 Sept – Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal Wanita Dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Siti Hasmah Mohd Ali.

Ujarnya, kehilangan tersebut amat dirasai kerana Allahyarhamah merupakan seorang ikon yang disenangi rakyat.

“Bagi pihak HAWA Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan salam takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga beliau atas pemergian isteri tercinta, Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

“Kami menerima berita pemergian Allahyarhamah ketika dalam perjalanan ke Melaka. Kehilangan beliau amat dirasai kerana Tun Dr Siti Hasmah merupakan seorang legenda dan ikon yang amat disenangi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, sama ada di bandar mahupun di desa.

“Keperibadian Allahyarhamah yang begitu luar biasa menjadikan beliau seorang tokoh yang amat dikagumi. Beliau bukan sahaja seorang doktor yang profesional, malah seorang ibu, isteri dan pemimpin yang telah banyak menyumbang kepada masyarakat dan negara,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut mendoakan agar roh Allahyarhamah terus dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

“Kami semua di HAWA Malaysia mendoakan agar roh Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta di dalam syurga-Nya

“Sememangnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat dirasai, namun kita bersyukur kerana telah diberi kesempatan untuk mendampingi dan menyaksikan perjalanan hidup Allahyarhamah sehingga mencapai usia 100 tahun.

“Usia 100 tahun itu sendiri merupakan satu anugerah daripada Allah SWT. Semoga segala jasa serta bakti Allahyarhamah kepada keluarga, masyarakat dan negara menjadi amal jariah yang terus dikenang,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi ini.

Perkara itu disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, ketika dihubungi Bernama. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO