SDG Bersasar: Pendekatan Berasaskan Data, Fahami Realiti Masyarakat Tempatan

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Sustainable Development Goals (SDG) ataupun Matlamat Pembangunan Mampan (MPM) bersasar merupakan pendekatan berasaskan data untuk memahami realiti masyarakat tempatan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, pendekatan tersebut membolehkan kerajaan merancang intervensi yang tepat pada sasaran.

“Mengakhiri lawatan di Sarawak, saya menghadiri Majlis Penutupan Program SDG Bersasar 2026, Peringkat Daerah Song, di Balai Raya Song, Sarawak, bersama Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan agensi pelaksana termasuk RECODA, URDA dan Pusat SDG Negara, Kementerian Ekonomi serta isteri saya yang tersayang.

“Program SDG Bersasar bukan sekadar program biasa. Ia adalah pendekatan berasaskan data yang turun ke peringkat mikro untuk memahami isu sebenar masyarakat tempatan dan merancang intervensi yang tepat sasaran.

“Di Song, data menunjukkan realiti yang perlu kita akui iaitu kadar kematian akibat penyakit kardiovaskular yang tinggi, capaian bekalan air bersih pada 47.9 peratus, bekalan elektrik 81.7 peratus dan kadar pengangguran 4.2 peratus

“Namun ada juga yang menggalakkan: 92.9 peratus penduduk sudah menggunakan internet, sebuah kadar ketersambungan digital yang luar biasa bagi kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, data yang dikumpulkan sepanjang program tersebut akan dibawa sebagai input dalam merangka Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

“Persoalannya bukan lagi berapa ramai yang menggunakan internet tetapi bagaimana penggunaan itu diterjemahkan kepada nilai dan peluang ekonomi sebenar untuk masyarakat di sini.

“Data yang dikumpul sepanjang program ini akan dibawa sebagai input penting dalam merangka strategi pembangunan wilayah yang lebih menyeluruh di bawah RMK13.

“Apa yang kita lihat di Song bukan sekadar angka, tetapi gambaran keperluan masyarakat yang perlu kita fahami lebih dekat, kemudian diterjemahkan kepada tindakan tepat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO