Campur Tangan PH Khianati Mandat Rakyat Negeri Sembilan – Mohamad Fadil

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Campur tangan Pakatan Harapan (PH) terhadap urusan pentadbiran Negeri Sembilan merupakan satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berkata, tindakan tersebut perlu dihentikan untuk memberi ruang kepada kerajaan negeri menyelesaikan kemelut yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

“Campur tangan PH terhadap urusan pentadbiran Negeri Sembilan dilihat seolah-olah cubaan ‘mencabul’ mandat rakyat melalui cara ‘luar tabii’ dan satu pengkhianatan.

“Campur tangan ‘luar tabii’ ini perlu dihentikan segera untuk memberi ruang kepada Kerajaan Negeri baharu yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat Negeri Sembilan bagi menyelesaikan segala kemelut ditinggalkan pentadbiran terdahulu.

“Campur tangan PH hanya akan menambah kekusutan sedia ada,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, Menteri Besar tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar (YDPB) dan kekusutan tersebut akan dapat diselesaikan dengan baik sekiranya tiada campur tangan daripada pihak luar.

“Untuk makluman pentadbiran pusat, Menteri Besar ataupun UMNO tidak mempunyai hak untuk menurunkan mahupun menaikkan YDPB… yang berhak adalah Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Yang Empat dan YTM Tunku Besar Tampin sebagai Pemerintah Bersama.

“Kekusutan tersebut akan dapat diselesaikan dengan baik sekiranya tiada ‘tangan ghaib’ yang saya kira hanya menambah kerosakan nilai adat yang menjadi simbol kemakmuran rakyat Negeri Sembilan selama ratusan tahun.

“Cukuplah kegagalan pentadbiran dahulu membuatkan Negeri Sembilan menjadi tidak stabil dan terpaksa menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menyeru PH untuk terus memberikan perhatian terhadap tugas hakiki iaitu mengemudi kerajaan di peringkat persekutuan.

“Tumpukanlah perhatian terhadap pentadbiran pusat dan tidak usahlah masuk campur urusan pentadbiran di Negeri Sembilan.

“Seandainya sudah tidak berkemampuan untuk menguruskan negara, bubarkanlah parlimen dalam kadar segera bagi menyerahkan semula mandat kepada rakyat Malaysia memilih kepimpinan di peringkat pusat.

“Hentikan segera pencabulan ‘luar tabii’ pentadbiran negeri beradat ini kerana ianya sangat biadab,” katanya lagi.

Pada Rabu, media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cubaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Exco menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun.

Perdana Menteri menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO