Visit Sabah 2027 Diperkukuh Dengan Tambahan Penerbangan China

KOTA KINABALU, 23 Sept – China Eastern Airlines merancang meningkatkan kekerapan penerbangan terus dari Shanghai ke Kota Kinabalu kepada dua atau tiga penerbangan sehari, selain meneroka kemungkinan membuka laluan baharu Beijing–Kota Kinabalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Senior Vice President of Marketing and Sales China Eastern Airlines, Yang Chun Fei, di Shanghai.

Menurutnya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, perancangan berkenaan merupakan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh akses udara antara China dan Sabah, khususnya menjelang pelaksanaan Visit Sabah 2027.

“Lebih banyak penerbangan bermakna lebih mudah untuk pelancong datang ke Sabah. Ini juga akan membantu memperkukuh hubungan pelancongan antara Sabah dan China,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kapasiti penerbangan serta penerokaan laluan baharu itu berpotensi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong dari China untuk berkunjung ke Sabah.

Jafry berkata Sabah terus berusaha memperkukuh jaringan penerbangan antarabangsa sebagai antara strategi meningkatkan jumlah kunjungan pelancong dan merancakkan sektor pelancongan negeri.

“Sabah semakin dekat dengan China,” katanya lagi yang berada di China dalam rangka mempromosikan Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO