UMNO Beaufort Perkemas Gerak Kerja, Bersedia Untuk PRU-16

BEAUFORT, 23 Sept — UMNO Bahagian Beaufort terus memperkemas gerak kerja organisasi dan memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat, menerima kunjungan Lawatan Kerja Jawatankuasa Tumpuan Operasi Pilihan Raya (JKTOP) UMNO Sabah ke kawasan tumpuan PRU-16 UMNO Bahagian Beaufort yang diketuai Pengerusi JKTOP merangkap Bendahari UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Tun Said.

Ujarnya, lawatan kerja berkenaan menjadi platform penting bagi kepimpinan UMNO Negeri Sabah dan UMNO Bahagian Beaufort bertukar pandangan, menilai perkembangan semasa serta memperkukuh penyelarasan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

“Kesiapsiagaan UMNO tidak hanya bergantung kepada persediaan ketika pilihan raya, sebaliknya perlu dibina melalui pengukuhan organisasi dan gerak kerja yang konsisten di peringkat bahagian serta cawangan.

“Kita perlu memastikan UMNO sentiasa berada dalam keadaan siap siaga. Setiap lapisan kepimpinan dan jentera mesti memahami peranan masing-masing, bergerak secara tersusun dan yang paling penting, terus berada dekat dengan rakyat.”

Menurut beliau, penyelarasan yang mantap antara UMNO Negeri dan Bahagian amat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada gerak kerja yang berkesan di lapangan.

“Kita mahu UMNO Beaufort terus kukuh dari dalam. Perpaduan dalam kepimpinan, kekuatan jentera dan kesatuan gerak kerja adalah asas kepada kekuatan parti di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam program berasingan, Awang Aslee turut menerima kunjungan Pegawai KEMAS Daerah Beaufort, Pn Fitrie Osman, bersama beberapa kakitangan KEMAS di Pejabat UMNO Bahagian Beaufort.

Pertemuan dalam suasana mesra dan harmoni itu turut membuka ruang untuk memperkukuh hubungan serta jalinan kerjasama dalam usaha menyantuni masyarakat dan memperkasakan pembangunan komuniti, khususnya di kawasan Parlimen Beaufort.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan mendekati rakyat perlu diteruskan secara konsisten kerana kekuatan UMNO turut bergantung kepada hubungan erat antara parti dengan masyarakat.

“UMNO mesti terus menjadi parti yang dekat dengan rakyat. Kita tidak mahu hanya hadir ketika pilihan raya, tetapi sentiasa turun padang, mendengar suara masyarakat dan memahami keperluan mereka.”

Beliau berkata, usaha menyantuni rakyat dan memperkasakan komuniti akan terus diperkukuh seiring dengan usaha memantapkan organisasi parti.

“Apabila organisasi kita kukuh dan hubungan dengan rakyat sentiasa terpelihara, gerak kerja UMNO akan menjadi lebih tersusun dan berkesan. Inilah semangat yang kita mahu bina di Beaufort.”

Turut bersama dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Beaufort, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahaya; Ketua Puteri UMNO Bahagian, Munira Sarrie; serta Setiausaha UMNO Bahagian, Abd Rahman Mohd Taib.

Ujarnya lagi, UMNO Bahagian Beaufort akan terus memperkukuh penyelarasan di semua peringkat, memantapkan jentera serta memastikan gerak kerja parti sentiasa berteraskan khidmat kepada rakyat dan kekuatan organisasi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO