Terima Kasih Warga Merlimau, Amanah Tidak Saya Lupakan – Dr Akmal

MERLIMAU, 23 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga Merlimau atas kepercayaan yang diberikan kepadanya sepanjang empat tahun 10 bulan memikul amanah sebagai wakil rakyat.

Menurut Akmal yang merupakan penyandang ADUN di sini, kepercayaan masyarakat Merlimau merupakan satu amanah besar yang hadir bersama harapan dan masa depan rakyat yang perlu dijaga sebaik mungkin.

Katanya, beliau bermula sebagai seorang anak kampung tanpa latar belakang atau kedudukan yang besar, namun diberi peluang oleh masyarakat untuk berkhidmat dan membuktikan kemampuan.

“Betapa besarnya kepercayaan yang orang Merlimau berikan kepada saya. Di dalamnya ada harapan, ada masa depan, malah ada sebahagian kehidupan yang diserahkan untuk saya jaga.

“Dengan segala kekurangan itu, kalian semua warga Merlimau mengambil risiko untuk percaya dan memberikan saya peluang,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan pembubaran DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa hari ini, bagi memberi laluan kepada proses Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Akmal berkata sepanjang tempoh berkenaan, beliau telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat, namun mengakui masih terdapat perkara yang belum dapat diselesaikan.

Beliau turut memohon maaf kepada mereka yang masih menunggu bantuan, termasuk keluarga yang berdepan kesusahan serta warga emas yang memerlukan kediaman lebih sempurna.

“Saya sedar dan insaf. Betapa kesibukan saya tidak pun memendekkan penantian mereka. Niat baik saya tidak akan menghilangkan kesusahan mereka.

“Atas kelalaian dan kezaliman saya dalam memikul amanah ini, saya benar-benar memohon maaf,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal menegaskan penghargaan tersebut bukanlah disertai permintaan untuk dipilih semula, sebaliknya beliau menyerahkan sepenuhnya kepada warga Merlimau untuk menilai dan menentukan kepercayaan mereka.

Katanya, tempoh memegang jawatan mungkin mempunyai penghujung, namun hubungan dengan masyarakat Merlimau akan kekal menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

“Jawatan ini ada tempohnya, tetapi menjadi anak Merlimau, itu seumur hidup saya.

“Susah dan senang, selagi diberikan izin Yang Maha Kuasa, saya akan tetap bersama orang Merlimau,” katanya.

Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga Merlimau yang telah membuka pintu dan memberikan beliau ruang untuk menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat di kawasan berkenaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO