Isu Najib: Tahanan Rumah Bukan Kes Pertama – Hasnal Rezua

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Tahanan rumah bukanlah sesuatu yang pertama kali berlaku di negara ini, sebaliknya pernah dilaksanakan dalam kes terdahulu membabitkan cucu kepada tokoh politik dan perniagaan, Tun H.S. Lee, kata Pengamal Undang-undang, Datuk Hasnal Rezua Merican.

Beliau berkata, antara contoh yang pernah berlaku kes Kenneth Lee Fook Mun yang disabitkan atas kesalahan berkaitan kematian seorang wanita, Linda Lee Good Yew, pada tahun 2000.

Katanya, Kenneth ketika itu diberikan perintah pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong  bagi membolehkan baki hukuman dijalani di rumah atas alasan terdapat keperluan menjaga bapanya yang sedang sakit.

“Jadi, tahanan rumah bukanlah sesuatu yang baharu dalam konteks negara ini. Ia pernah dilaksanakan sebelum ini dengan syarat dan pertimbangan tertentu,” katanya.

Hasnal yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang berkata, pelaksanaan tahanan rumah tidak bermakna seseorang banduan diberikan kebebasan seperti orang awam, sebaliknya tertakluk kepada syarat serta kawalan yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Aspek pemakanan juga boleh dikelolakan di bawah pengawasan Jabatan Penjara, manakala penggunaan telefon, komputer riba dan peranti elektronik lain boleh dihadkan atau dilarang mengikut syarat rasmi yang ditetapkan.

“Kalau di penjara, penggunaan teknologi memang tertakluk kepada kawalan. Ada perkara yang dibenarkan secara terhad dan terkawal. Prinsip yang sama boleh digunakan dalam tahanan rumah, termasuk kawalan terhadap peranti, komunikasi dan akses kepada teknologi.

“Akses kepada media sosial juga boleh tidak dibenarkan, bergantung kepada syarat rasmi yang ditetapkan bagi pelaksanaan tahanan rumah berkenaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut kata Hasnal lagi, mengenai syarat kewangan yang dikaitkan dengan pelaksanaan tahanan rumah, kegagalan menjelaskan denda RM50 juta bermakna Najib Razak perlu kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Pada masa sama, tambahnya usaha mendapatkan sumbangan awam menerusi pendanaan awam atau ‘crowdfunding’ turut dilihat sebagai antara ikhtiar yang boleh dilakukan dengan sokongan kenalan lama serta penyokong Najib Razak.

“Saya percaya memang ramai yang akan menyumbang, mungkin daripada kenalan dan rangkaian lama yang boleh menyumbang.

“Tetapi kalau kita hanya mengharapkan sumbangan, kita kena lihat sejauh mana jumlah itu boleh dikumpulkan kerana RM50 juta tetap merupakan nilai yang besar untuk dikumpulkan melalui sumbangan orang ramai.

“Kalau tidak bayar, bermakna beliau tidak mendapat tahanan rumah itu. Kalau tidak selesai, beliau kekal di Penjara Kajang. Namun jika gagal, permohonan pelepasan aset boleh dibuat di mahkamah,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO