Ahmad Zahid Ucap Tahniah, Adeola Sumbang Emas Pertama Malaysia
KUALA LUMPUR, 23 Sept — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengucapkan tahniah kepada atlet karate negara, Adeola Fay Robert, selepas mencipta kejayaan membanggakan dengan menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kejayaan berkenaan turut menamatkan penantian karate wanita Malaysia untuk meraih pingat emas di temasya berkenaan sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.

“Tahniah saya ucapkan kepada atlet karate negara, Adeola Fay Robert, yang mencipta kejayaan membanggakan apabila menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
“Pingat emas ini turut menamatkan penantian karate wanita Malaysia sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan. Syabas Adeola!” katanya.
Beliau berkata kejayaan Adeola bukan sahaja mengharumkan nama negara di pentas Asia, malah wajar dijadikan sumber inspirasi kepada generasi atlet muda untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam sukan.
“Teruskan mengharumkan nama negara dan menjadi inspirasi kepada generasi atlet muda untuk terus mengangkat martabat sukan karate di pentas dunia,” katanya lagi. – UMNO Online
